SHAH ALAM: Selepas dinobatkan sebagai atlet lelaki terbaik Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, penembak negara Cheah Zen Hong tidak mahu terlalu lama meraikan kejayaan sebaliknya terus memasang sasaran lebih besar untuk bersaing di pentas Olimpik.
Cheah, 20, berkata pengiktirafan tersebut menjadi pembakar semangat kepadanya bagi meningkatkan tahap prestasi, terutama selepas menamatkan penampilan terakhirnya di pentas SUKMA dengan sembilan pingat emas dan satu perak selain mencatat dua rekod baharu temasya.
Beliau berkata tiada masa untuk berehat panjang kerana cabaran lebih besar menanti, termasuk usaha memburu peluang beraksi di temasya Olimpik yang disifatkannya sebagai impian terbesar dalam karier.
“Olimpik itu satu impian yang sangat besar. Jadi saya akan teruskan bekerja keras untuk mencapai impian itu.
“Selepas ini saya tahu akan ada lebih banyak cabaran yang saya akan hadapi. Saya kena lawan apa saja rintangan yang menunggu saya,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan pada majlis penutupan SUKMA ke-22 di sini malam tadi..
Mengulas hala tuju selepas menutup tirai penyertaan di SUKMA, Cheah berkata fasa sebagai atlet remaja kini sudah berakhir dan beliau mahu mengambil pendekatan lebih serius untuk menguji kemampuan di pentas lebih tinggi.
Beliau berkata tumpuan selepas ini adalah untuk membina reputasi sebagai atlet senior dan seterusnya memburu tempat dalam Program Podium, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mendapat pendedahan di kejohanan antarabangsa.
“Saya sekarang berada dalam Program Pelapis. Bagi saya, gaji bukan perkara utama. Saya cuma mahu buat yang terbaik dan kalau boleh naik podium, maksudnya saya boleh dapat lebih banyak pendedahan dalam pertandingan luar.
“Sekarang fasa saya sebagai atlet remaja sudah tamat. Jadi selepas ini saya kena lebih serius dan bersedia untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Cheah dipilih sebagai penerima anugerah itu selepas cemerlang meraih sembilan pingat emas dan satu perak, sekali gus memperbaiki pencapaian peribadinya tujuh emas pada SUKMA Sarawak 2024.
Beliau memenangi emas dalam acara 10 meter air pistol, 10m air pistol berpasukan, 10m air pistol campuran, 25m rapid fire pistol, 25m sport pistol, 25m sport pistol berpasukan, 25m standard pistol berpasukan, 50m pistol dan 50m pistol berpasukan.
-- BERNAMA