ATLET e-sukan negara, Taj Izrin Aiman Taj Madira, mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas muncul juara acara perlumbaan Gran Turismo 7 di Aichi Sky Expo Hall D, pada Selasa.
Kejayaan itu bukan sahaja menyumbang emas kedua negara pada temasya berkenaan, malah menjadi pingat emas pertama Malaysia dalam sejarah e-sukan di Sukan Asia, selain acara tersebut julung kali dipertandingkan.
Anak didik legenda permotoran negara, Alex Yoong, itu mengungguli saingan menerusi kutipan mata keseluruhan tertinggi selepas tiga perlumbaan akhir, sekali gus menewaskan pencabar terdekat dari Arab Saudi dan Korea Selatan.
Taj Izrin memulakan kempen final dengan menamatkan dua perlumbaan pertama di kedudukan kedua untuk mengumpul 18 mata.
Bagaimanapun, beliau mempamerkan aksi cemerlang dalam perlumbaan ketiga apabila mendominasi saingan bagi memastikan gelaran juara menjadi miliknya.
π¨π¨π¨
GOLDDDDDDDDD medal for MALAYSIA π²πΎπ₯
Selamba je Taj Izrin Aiman βkaki ayamβ di pentas tertinggi Asia & menyumbang emas ke-2 kontinjen negara di Sukan Asia 2026.
Alam nyata β
Alam maya β
THANK YOU Coach Alex Yoong πππ@ASTROARENA pic.twitter.com/sqLqU9ba4Hβ karlnunis (@_karlnunis) September 23, 2026
Sebagai ganjaran, Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) sebelum ini menjanjikan imbuhan RM20,000 kepada setiap pasukan e-sukan kebangsaan yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Terdahulu, pingat emas pertama Malaysia pada temasya kali ini disumbangkan oleh Adeola Fay Robert menerusi acara karate kumite wanita bawah 55 kilogram (kg), selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 dalam aksi final, semalam.