KUALA LUMPUR: Empat acara Para SUKMA Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung hari ini terpaksa ditangguhkan susulan jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat iaitu 169 setakat tengah hari tadi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi berkata keputusan itu dibuat selepas pihak penganjur menerima nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan (KKM) serta jawatankuasa khas teknikal yang memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Bacaan IPU di Shah Alam dan Klang setakat pukul 12 tengah hari ini menunjukkan bacaan tidak sihat iaitu 169, memaksa pihak penganjur menangguhkan acara Para Olahraga di Stadium UiTM, Para Renang di Kompleks Akuatik Selangor, Para Memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES) serta Boling Padang di Bayuemas, Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah pemakluman mengenai penangguhan serta tarikh acara berkenaan disambung semula akan dibuat dari semasa ke semasa, bergantung kepada keadaan IPU di lokasi pertandingan.
Saingan Para SUKMA Selangor 2026 bermula semalam, dengan beberapa acara berlangsung pada sebelah pagi hari ini termasuk para olahraga, powerlifting, para memanah, para badminton, boccia, ping pong, catur dan boling padang.