Skip to main content

Sukan

FIFA gagal kuat kuasa peraturan terhadap Israel - Persatuan Bola Sepak Palestin 

61697732952_PalestineFootballA.jpg
Menurut PFA, berdiam diri ketika genosid dilakukan secara langsung bererti bersubahat. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) berkata Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) gagal melaksanakan peraturannya sendiri terhadap Israel, selain menuduh badan induk itu tidak bertindak selama bertahun-tahun meskipun bola sepak Palestin mengalami kemusnahan besar, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, PFA memaklumkan lebih 1,013 pemain, jurulatih, pengadil, pegawai dan komuniti bola sepak Palestin terbunuh dalam perang genosid Israel di Gaza, manakala stadium, kemudahan latihan serta infrastruktur bola sepak turut musnah.

PFA turut mengkritik FIFA kerana gagal mengambil tindakan terhadap kelab Israel di wilayah Palestin yang diduduki, sambil berkata aduan yang dikemukakannya sejak lebih 15 tahun lalu masih belum diselesaikan.

“Berdiam diri ketika genosid dilakukan secara langsung bererti bersubahat,” menurut kenyataan itu.

PFA berkata bahawa bola sepak Palestin “tidak lagi mampu menerima janji tanpa tindakan”, manakala FIFA belum memberikan sebarang ulasan mengenai kenyataan itu.

Tentera Israel terus melancarkan serangan setiap hari di Gaza meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025, menyebabkan sekurang-kurangnya 1,250 rakyat Palestin terbunuh dan 4,110 lagi cedera.

Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas dua tahun genosid yang dilancarkan Israel pada 8 Okt 2023, menyebabkan kemusnahan meluas membabitkan 90 peratus infrastruktur awam, dengan kos pembinaan semula dianggarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekitar US$70 bilion.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement