Skip to main content
Advertisement

Sukan

JDT lancar platform JDT+ untuk dekatkan penyokong dengan kelab

ISKANDAR PUTERI, 22 Sept - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta "'zim FC (JDT) Luis Garcia menunjukkan laman sesawang JDTPlus yang bakal dilancarkan 22 Oktober ini pada prapelancaran laman sesawang tersebut di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta "'zim, di sini hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta "'zim FC (JDT) Luis Garcia menunjukkan laman sesawang JDT+ yang bakal dilancarkan 22 Oktober ini pada prapelancaran laman sesawang tersebut di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta "'zim, di sini hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim FC (JDT) hari ini mengumumkan pelancaran platform keahlian premium JDT+, yang bakal menawarkan kandungan eksklusif di sebalik tabir, dokumentari khas serta gambaran lebih dekat mengenai operasi harian kelab kepada para penyokong.

Platform itu akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Okt di jdtplus.com, dengan memperkenalkan dokumentari filem asli sulung berdurasi 76 minit, UNTAMED.

Dokumentari itu memaparkan secara dekat perjalanan JDT menjadi antara kuasa bola sepak paling hebat di Asia Tenggara, dengan memberi tumpuan kepada visi dan kepimpinan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT Luis Garcia ketika bercakap pada sidang media prapelancaran di ibu pejabat JDT hari ini berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kelab terhadap inovasi, selain membina hubungan lebih peribadi dengan kelompok peminatnya di luar hari perlawanan.

“Apabila anda menjadi peminat sesuatu, sama ada kelab bola sepak, pemain atau kumpulan muzik, perkara paling menarik ialah apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir. Peminat biasanya tidak berpeluang melihat bagaimana pemain berlatih, cara mereka menjalani kehidupan, bagaimana mereka menghadapi hari-hari sukar atau bagaimana mereka berusaha untuk memperbaiki diri.

“Melihat pemain hanya di atas padang menjadikan mereka seolah-olah tidak boleh didekati dan jauh daripada penyokong. Kami mahu mendekatkan mereka dengan penyokong serta berkongsi sisi peribadi JDT, bukan hanya dari sudut bola sepak,” katanya.

Selepas UNTAMED, JDT+ akan menampilkan OUTBOUND, siri dokumentari tahunan yang mengikuti kempen JDT dalam Liga Juara-Juara AFC Elit.

Garcia berkata JDT+ adalah sebahagian penting daripada visi Tunku Mahkota Ismail untuk mengangkat JDT sebagai sebuah institusi sukan moden yang diiktiraf di peringkat global.

“Bagi Tunku Mahkota Ismail, inovasi sentiasa menjadi sebahagian asas daripada visi untuk JDT. Objektifnya bukan sekadar untuk berjaya di atas padang tetapi untuk terus memperbaiki, berkembang dan menetapkan piawaian baharu.

“JDT+ mendekatkan penyokong dengan kelab serta membolehkan kami menceritakan kisah JDT dengan cara yang lebih mendalam dan sahih,” katanya.

Walaupun harga dan pelan langganan akhir akan diumumkan secara rasmi pada hari pelancaran, wakil kelab memaklumkan pakej ditawarkan pada harga yang mampu diakses oleh peminat, dengan langganan tahunan dijangka berharga kurang daripada RM100.

Perkhidmatan itu pada peringkat awal boleh diakses menerusi portal sesawang manakala aplikasi mudah alih khusus akan dilancarkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas pelancaran.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement