Skip to main content

Sukan

Jurulatih Ivory Coast kecewa komen Schweinsteiger sentuh “bola sepak Afrika”

Ivory Coast goalkeeper Yahia Fofana (1) makes a save in front of Curaçao's Livano Comenencia (8) and Ivory Coast's Christopher Operi (13) during the World Cup Group E soccer match between Curacao and Ivory Coast in Philadelphia, Thursday, June 25, 2026. (AP Photo/Matt Slocum)
Penjaga gol Ivory Coast, Yahia Fofana (1), menepis percubaan di hadapan pemain Curacao, Livano Comenencia (8), sambil diperhatikan Christopher Operi (13) dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia antara Curacao dan Ivory Coast di Philadelphia. - Foto AP
Advertisement

PHILADELPHIA: Kegembiraan Ivory Coast mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia dicemari kontroversi apabila ketua jurulatihnya, Emerse Fae, meluahkan kekecewaan terhadap komen bekas pemain Jerman, Bastian Schweinsteiger, yang disifatkan berbaur stereotaip.

Ivory Coast mencipta sejarah apabila menewaskan Curacao 2-0 menerusi dua jaringan Nicolas Pepe, sekali gus layak ke peringkat kalah mati buat pertama kali.

Kontroversi timbul susulan ulasan Schweinsteiger sebagai pengulas televisyen Jerman sebelum ini, yang menyifatkan permainan Ivory Coast sebagai “bola sepak Afrika” yang menurutnya “sedikit tidak ortodoks, liar dan kurang taktikal”.

Kenyataan itu mencetuskan perdebatan, dengan sesetengah pihak menganggapnya berpotensi mengandungi elemen stereotaip terhadap pasukan dari benua Afrika.

Fae, 42, mengakui beliau berasa sedih dan kecewa dengan kenyataan tersebut, lebih-lebih lagi kerana beliau pernah mengagumi Schweinsteiger ketika menjadi pemain.

“Saya fikir ia menyedihkan. Dia seorang pemain yang sangat hebat, dan saya sentiasa mengagumi cara dia bermain serta memahami bola sepak,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan sedemikian tidak wajar datang daripada seorang tokoh yang mempunyai pemahaman mendalam tentang permainan.

“Apabila seseorang yang begitu memahami bola sepak berkata begitu, ia sesuatu yang ganjil. Jika kita mahu berterus terang, ia boleh dianggap sebagai satu kenyataan berunsur perkauman,” jelasnya.

Fae menegaskan bahawa pasukannya akan terus membuktikan bahawa bola sepak Afrika bukan sekadar berasaskan fizikal semata-mata.

“Kami mahu tunjukkan di atas padang bahawa kami juga kuat dari segi teknikal dan taktikal,” katanya.

Beliau turut berharap kenyataan tersebut hanya satu kesilapan dalam penyampaian, dan bukan mencerminkan pandangan sebenar Schweinsteiger.

Setakat ini, Schweinsteiger yang pernah membantu Jerman menjuarai Piala Dunia 2014 dan memenangi pelbagai kejuaraan bersama Bayern Munich, belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas mengenai isu tersebut.

Di sebalik kontroversi, kemenangan Ivory Coast tetap menjadi pencapaian besar buat pasukan itu.

Fae berjaya membimbing pasukannya mengatasi cabaran sengit peringkat kumpulan, termasuk kemenangan ke atas Ecuador dan kejayaan menamatkan kemarau kemaraan ke pusingan kalah mati.

Dengan semangat tinggi dan keyakinan baharu, Ivory Coast kini bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar dalam pusingan seterusnya, sambil membawa misi memperbetulkan persepsi terhadap bola sepak Afrika di pentas dunia.
 

 

Must Watch Video

Advertisement