KOTA BHARU: Kelantan Red Warrior KRW) optimis isu sekatan pendaftaran pemain import yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dapat diselesaikan dalam masa terdekat selepas mengemukakan semua dokumen serta penjelasan kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Presidennya Datuk Muhammad Zaki Harun berkata pihaknya berharap FIFA membuat keputusan yang adil memandangkan isu berkenaan bukan berpunca daripada KRW, sebaliknya dipercayai timbul susulan kekeliruan berkaitan penggunaan nama dan logo yang hampir sama dengan entiti terdahulu sehingga menyebabkan tuntutan peguam pemain dibuat terhadap entiti berkenaan.
"Kita telah menyerahkan semua dokumen kepada FIFA dan berharap keputusan yang adil dapat dibuat. Kita percaya keputusan yang akan diumumkan selepas Piala Dunia nanti akan memihak kepada KRW.
"Perkara ini pernah berlaku ketika permulaan saingan Liga A1 Semi-Pro, namun kita berjaya mengatasinya sehingga menamatkan musim di tangga keempat, yang merupakan satu pencapaian besar berbanding beberapa pasukan yang lebih lama bertanding," katanya pada Majlis Memperkenalkan Penaja bagi musim 2026-2027, di sini, hari ini.
Muhammad Zaki berkata pihaknya juga sentiasa mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), yang memahami kedudukan sebenar KRW berhubung isu berkenaan.
Beliau berkata walaupun berdepan cabaran itu, pengurusan tetap bersemangat mengharungi saingan Liga Super musim 2026-2027 selepas mendapat sokongan daripada 23 penaja, kebanyakannya syarikat berpangkalan di Kelantan.
"Setakat ini kita mempunyai 23 penaja dengan pelbagai pakej dan masih ada lagi penaja yang sedang dalam perbincangan, termasuk sebuah syarikat dari Brunei. Kehadiran penaja ini memberi kelebihan kepada KRW untuk menghadapi musim baharu serta menjadi suntikan semangat kepada pemain dan barisan kejurulatihan," katanya.
Muhammad Zaki berkata pengurusan menyedari cabaran dalam Liga Super jauh lebih besar berbanding Liga A1 Semi-Pro, justeru setiap perancangan akan dilaksanakan secara teliti mengikut kemampuan kewangan pasukan.
Beliau berkata meskipun KRW masih dianggap pasukan baharu, kejayaan menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro di tangga keempat sehingga melayakkan pasukan itu beraksi dalam Liga Super membuktikan mereka berupaya memberi saingan kepada pasukan lain.
KRW menjadi wakil tunggal pasukan Liga A1 berjaya ke pentas elit itu selepas PDRM FC menarik diri seterusnya melengkapkan 12 pasukan yang bertanding bagi musim 2026/27.
-- BERNAMA