Skip to main content

Sukan

Lebih 7,000 tiket belum terjual, FIFA turunkan harga tiket aksi tempat ketiga England-Perancis

Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, menegaskan bahawa organisasi tersebut kekal fokus terhadap penyertaan semua pasukan dalam Piala Dunia 2026, meskipun selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran.
Langkah penurunan harga berskala besar itu dibuat bagi memastikan baki kerusi di stadium dapat dipenuhi sekali gus mengelakkan situasi memalukan penganjur akibat lambakan tempat duduk kosong. -Foto fail
Advertisement

MIAMI: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terpaksa mengambil langkah drastik menurunkan harga tiket perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026 di antara England dan Perancis berikutan sambutan yang amat hambar.

Langkah penurunan harga berskala besar itu dibuat bagi memastikan baki kerusi di stadium dapat dipenuhi sekali gus mengelakkan situasi memalukan penganjur akibat lambakan tempat duduk kosong, lapor Mirror.

Sehingga jam 5 petang Jumaat (waktu Malaysia), sekitar 7,000 tiket dilaporkan masih belum terjual walaupun tempoh aksi sepak mula di Miami hanya berbaki kurang 36 jam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,246 tiket jualan umum masih ditawarkan pada harga antara £657 (kira-kira RM3,745) hingga £855 (kira-kira RM4,874).

Sementara itu, sebanyak 5,864 tiket lagi diletakkan di platform jualan semula rasmi dengan harga paling murah bagi kategori tiga berharga £346 (RM1,972), tidak termasuk yuran pengurusan FIFA sebanyak 15 peratus.

Bagi menarik minat pembeli, FIFA bertindak mengurangkan harga premium tiket kategori satu daripada £855 (RM4,874) kepada hanya £500 (RM2,850).

Menurut laporan, jualan tiket yang perlahan dipercayai berpunca daripada kekecewaan penyokong kedua-dua pasukan yang sebelum ini mengharapkan England dan Perancis mara ke perlawanan akhir.

Keadaan sama turut dikesan bagi aksi final antara Sepanyol dan Argentina apabila lebih 1,000 tiket masih belum terjual di laman rasmi FIFA.

Bagaimanapun, pengendali England, Thomas Tuchel, menegaskan perlawanan penentuan tempat ketiga tetap penting sebagai peluang untuk pasukannya menutup kempen Piala Dunia dengan keputusan positif.

Menurut beliau, meskipun kekalahan di separuh akhir amat mengecewakan pemain dan penyokong, kemenangan dalam perlawanan itu mampu memberikan pencapaian terbaik England di pentas Piala Dunia dalam tempoh enam dekad.

 

Must Watch Video

Advertisement