KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia menetapkan sasaran enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang dijadualkan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Asia Datuk Mohd Sumali Reduan berkata sasaran keseluruhan 33 pingat itu adalah realistik berdasarkan prestasi semasa, rekod pencapaian terkini, potensi atlet serta tahap persaingan sengit di pentas Asia.
“Semua tahu ini temasya besar, Sukan Asia bukan Sukan SEA. Jadi, sudah pasti cabarannya lebih besar. Kami juga berharap ada bonus daripada sasaran emas kerana kami turut menyasarkan tujuh perak dan 20 gangsa.
“Sasaran ini dibuat selepas kami berbincang secara terperinci dengan mengambil kira prestasi semasa dan kekuatan lawan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia dan Sukan Para Asia di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini hari ini.
Atlet wusyu negara Tan Cheong Min diumumkan sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi kontinjen negara pada Sukan Asia manakala atlet para lompat jauh Muhammad Nazmi Nasri dipilih bagi Sukan Para Asia.
Mohd Sumali berkata sebanyak 13 sukan dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat, iaitu berbasikal trek, badminton, memanah, terjun, skuasy, sepak takraw, hoki, olahraga, pelayaran, karate, wusyu, e-sukan dan menembak.
“Kami berharap seperti di Sukan Komanwel sebelum ini, akhirnya ada bonus. Pada masa sama, kami berdoa supaya tidak kurang daripada sasaran kerana yang penting kita perlu mencapai sasaran keseluruhan 33 pingat,” katanya.
Kontinjen negara ke Sukan Asia kali ini terdiri daripada 352 atlet, yang diiringi 185 pegawai untuk menyertai 30 daripada 43 jenis sukan meliputi 156 daripada 469 acara yang dipertandingkan.
Daripada jumlah atlet itu, 15 ialah peserta program Road to Gold (RTG), program podium (158), program pelapis (14) dan di bawah program persatuan (165).
Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin pula berkata jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dijangka beraksi pada temasya berkenaan bagi membantu Malaysia merealisasikan sasaran pingat yang ditetapkan.
Sementara itu, CDM ke Sukan Para Asia Tan Chee Keong berkata kontinjen para negara menyasarkan enam emas, 10 perak dan 18 gangsa daripada 73 atlet yang beraksi pada temasya yang dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 24 Okt ini.
-- BERNAMA