Skip to main content

Sukan

Messi dan Piala Dunia: Angka di sebalik legenda

Argentina's Lionel Messi (10) dribbles the ball during the World Cup quarterfinal soccer match against Switzerland in Kansas City, Mo., Saturday, July 11, 2026. (AP Photo/Charlie Riedel)
Aksi Messi menggelecek bola semasa perlawanan suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Argentina dan Switzerland di Kansas City, Missouri, 11 Julai 2026. (Foto AP)
Advertisement

LONDON: Lionel Messi berpeluang menambah satu lagi catatan gemilang dalam perjalanan hebatnya di Piala Dunia apabila Argentina berdepan England di Atlanta pada Rabu, lapor PA Media/dpa.

Press Association menelusuri sumbangan Messi di pentas terunggul bola sepak dunia itu.

 

Ulangi kejayaan?

 

Messi mengetuai Argentina menjulang kejuaraan pada 2022 di Qatar dengan meledak tujuh gol, termasuk dua pada aksi final, sebelum mereka menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti.

Kejayaan itu dilihat sebahagiannya didorong oleh keazaman skuad Argentina untuk merangkul kejuaraan sebelum Messi bersara.

Namun, bukan sahaja beliau kembali hampir empat tahun kemudian, malah sekali lagi menjadi tonggak utama pasukan.

Pemain berusia 39 tahun itu sudah meledak lapan gol pada kejohanan musim panas ini, menyamai penyerang Perancis Kylian Mbappé selaku penjaring terbanyak, dan kini memburu kejuaraan Piala Dunia kedua sebelum hampir pasti menamatkan kariernya di pentas berkenaan.

 

Penghormatan individu

 

Kasut Emas Piala Dunia antara beberapa anugerah utama yang masih belum pernah dimenangi Messi selepas Mbappé mengatasi beliau dalam perebutan anugerah itu pada edisi lalu.

Penyerang Perancis itu meledak hatrik pada final meskipun pasukannya akhirnya tewas.

Dua pemain yang sama sekali lagi menerajui persaingan kali ini, dengan Mbappé mempunyai kelebihan menerusi kriteria pemisah berdasarkan jumlah bantuan jaringan dan minit permainan paling sedikit.

Dua pemain England, Harry Kane dan Jude Bellingham, turut mengekori rapat dengan masing-masing meledak enam gol, manakala pencabar terdekat Erling Haaland sudah tersingkir.

Messi merupakan pemenang dua kali Bola Emas, anugerah kepada pemain terbaik kejohanan, dan pada edisi kali ini menambah dua lagi rekod sepanjang zaman dalam koleksinya.

Bagaimanapun, Mbappé hanya ketinggalan satu gol daripada rekod 21 gol Piala Dunia milik Messi dan dilihat hampir pasti menjadi pemegang rekod itu untuk tempoh panjang.

Kedua-duanya mengatasi rekod terdahulu Miroslav Klose sebanyak 16 gol pada kejohanan kali ini.

Messi dan Cristiano Ronaldo juga muncul dua pemain lelaki pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, selain kedua-duanya mengatasi rekod 25 penampilan milik Lothar Matthaus.

Messi dijangka membuat penampilan ke-33 di Piala Dunia pada Rabu, enam penampilan mengatasi Ronaldo.

 

Rekod jaringan – dan satu kelemahannya?

 

Messi menjaringkan satu gol pada penampilan sulungnya di Piala Dunia pada 2006 dan gagal menemui sasaran pada kejohanan 2010, sebelum mencipta impak dengan empat gol pada edisi 2014 yang dianjurkan seteru utama Argentina, Brazil.

Beliau menjaringkan satu gol pada 2018 sebelum mempamerkan aksi luar biasa pada 2022 apabila pada usia 35 tahun, jumlah jaringannya dalam satu edisi itu mengatasi keseluruhan gol yang dijaringkannya dalam empat kejohanan terdahulu.

Messi sudah mengatasi jumlah itu pada kejohanan kali ini.

Jumlah jaringan pada 2022 itu dibantu empat gol menerusi sepakan penalti, namun beliau turut gagal menyempurnakan satu sepakan dan masalah berkenaan kembali menghantuinya di Amerika Utara.

Messi menyepak keluar sepakan penalti ketika Argentina menewaskan Austria pada peringkat kumpulan dan satu lagi percubaannya diselamatkan penjaga gol Mesir Mostafa Shobeir pada pusingan 16 terbaik, bermakna beliau kini hanya menyempurnakan empat daripada lapan sepakan penalti di Piala Dunia, tidak termasuk penentuan sepakan penalti.

Beliau berjaya menyempurnakan sepakannya dalam ketiga-tiga penentuan sepakan penalti Piala Dunia yang disertainya, masing-masing menentang Belanda pada 2014 dan 2022 serta Perancis pada final edisi 2022.

Messi yang ketika itu berusia 19 tahun sekadar menjadi pemain simpanan dan tidak diturunkan ketika Argentina tewas kepada Jerman menerusi penentuan sepakan penalti pada 2006.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement