KUALA LUMPUR: MotoGP mengesahkan pada Ahad bahawa Grand Prix (GP) Qatar yang dijadualkan berlangsung pada April ini, ditangguhkan ke 8 Nov berikutan ketegangan geopolitik yang sedang melanda Asia Barat.
MotoGP dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat melalui penyelarasan erat dengan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), penganjur serta pihak berkuasa tempatan di Qatar, dengan objektif utama bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan serta penganjuran acara yang berkualiti tinggi buat semua peserta dan penonton.
Advertisement
"Susulan perancangan senario yang meluas dan analisis kalendar, tarikh baharu itu dipilih bagi memastikan gangguan minimum terhadap keseluruhan jadual MotoGP," menurut kenyataan itu.
Susulan anjakan itu, GP Portugal di Portimão kini akan berlangsung pada 22 Nov manakala pusingan penamat musim di Valencia beralih ke 29 Nov, sementara pusingan lain dalam Kejohanan Dunia MotoGP 2026 kekal tidak berubah.
Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta berkata, pemegang tiket akan diberi peluang untuk membawa peruntukan tiket mereka ke tarikh acara yang baharu.
"Keutamaan kami adalah sentiasa mengenai keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam MotoGP, selain memastikan setiap Grand Prix dianjurkan mengikut piawaian tertinggi yang mungkin," katanya.
Sementara itu, Presiden FIM, Jorge Viegas berkata, badan induk itu menyokong penuh keputusan berkenaan.
"Mengambil kira situasi geopolitik semasa, usaha melindungi pelumba, pasukan, pegawai dan peminat mesti sentiasa menjadi keutamaan. Kami yakin kalendar yang dikemas kini ini dapat memastikan acara di Qatar dilaksanakan dalam keadaan paling selamat dan profesional," katanya.
-- BERNAMA