Skip to main content

Sukan

Penggodam Football Leaks dakwa Infantino ‘tiada tempat’ dalam bola sepak

Pinto mengulangi dakwaan yang pertama kali muncul pada 2018 bahawa Infantino campur tangan bagi membantu Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) mengelakkan tindakan lebih tegas berkaitan peraturan Financial Fair Play (FFP). - Gambar fail/ Reuters
Pinto mengulangi dakwaan yang pertama kali muncul pada 2018 bahawa Infantino campur tangan bagi membantu Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) mengelakkan tindakan lebih tegas berkaitan peraturan Financial Fair Play (FFP). - Gambar fail/ Reuters

Advertisement

LISBON: Penggodam komputer yang mendedahkan dokumen sehingga mencetuskan siasatan Liga Perdana Inggeris (EPL) terhadap Manchester City mendakwa, Presiden FIFA, Gianni Infantino tidak sepatutnya mempunyai sebarang peranan dalam masa depan bola sepak.

Rui Pinto, pengasas platform Football Leaks, membuat kenyataan itu ketika Manchester City berdepan keputusan besar selepas didapati melanggar peraturan kewangan EPL dalam tempoh sembilan tahun. 

Juara England itu bagaimanapun terus menafikan sebarang salah laku dan mempunyai sehingga 2 Oktober untuk mengemukakan rayuan.

Siasatan EPL terhadap City bermula susulan maklumat yang dibocorkan Football Leaks pada 2018 menerusi penerbitan Jerman, Der Spiegel, selain siasatan berasingan oleh Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Dalam satu hantaran di platform X pada Rabu, Pinto mengulangi dakwaan yang pertama kali muncul pada 2018 bahawa Infantino campur tangan bagi membantu Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) mengelakkan tindakan lebih tegas berkaitan peraturan Financial Fair Play (FFP) UEFA.

Menurut laporan Der Spiegel ketika itu, kedua-dua kelab didakwa melebihkan nilai perjanjian penajaan bagi mematuhi syarat FFP. 

Dokumen yang dibocorkan turut mendakwa bahawa ketika berdepan tindakan disiplin, Infantino membantu mengatur hukuman yang lebih ringan terhadap kedua-dua kelab pada 2014.

PSG sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan kelab itu sentiasa mematuhi semua undang-undang serta peraturan yang ditetapkan badan-badan sukan.

Kelab Perancis itu juga menyatakan bahawa sejak pelaksanaan FFP, PSG merupakan antara kelab yang paling banyak diaudit dan diperiksa oleh pihak berkuasa bola sepak.

Pinto, 37, mendakwa, Infantino yang ketika itu berkhidmat sebagai Setiausaha Agung UEFA sudah mengetahui mengenai ketidakaturan melibatkan Manchester City.

"Gianni Infantino menyalahgunakan kuasanya, berkongsi dokumen sulit dan pada asasnya memintas proses siasatan bagi memastikan Manchester City dan PSG hanya dikenakan denda, sekali gus mengelakkan siasatan lebih mendalam yang mungkin membawa kepada larangan beraksi dalam Liga Juara-Juara," dakwanya.

Menurutnya, semua maklumat itu sebelum ini telah didedahkan menerusi Football Leaks.

"Berdasarkan tindakannya sebagai Setiausaha Agung UEFA dan kini Presiden FIFA, saya berpendapat, Gianni Infantino telah menjadi barah dalam bola sepak dan tidak sepatutnya mempunyai tempat dalam masa depan sukan ini," katanya.

Ketika dakwaan itu mula timbul beberapa tahun lalu, UEFA mempertahankan tindakan Infantino dengan menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Setiausaha Agung untuk membantu proses berkaitan siasatan.

Menurut badan induk bola sepak Eropah itu, bantuan berkenaan boleh melibatkan perbincangan, mesyuarat, pertukaran cadangan dan usaha mencari penyelesaian bagi menyokong tugasan badan penyiasat.

Infantino ketika itu turut menegaskan tugasnya sememangnya memerlukan beliau mengadakan perbincangan, berkongsi dokumen, draf dan idea mengenai pelbagai isu berkaitan bola sepak.

"Jika perkara itu digambarkan sebagai sesuatu yang salah, saya tidak boleh melakukan lebih daripada menjalankan tugas secara jujur, profesional dan demi mempertahankan kepentingan bola sepak," katanya.

BBC Sport melaporkan telah menghubungi FIFA bagi mendapatkan maklum balas berhubung kenyataan terbaharu Pinto.

Dalam perkembangan berkaitan, tekanan terhadap Infantino semakin meningkat susulan cadangannya yang kini ditangguhkan untuk menjual pegangan dalam Piala Dunia.

UEFA sebelum ini turut menuduh beliau terlibat dalam "salah urus jenayah" berkaitan skim FIFA Forward Enterprise (FFE).

Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Switzerland (SFV) turut menarik balik sokongan terhadap Infantino, menjadikannya badan kebangsaan terbaharu berbuat demikian.

Menurut SFV, keputusan itu dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap beberapa perkembangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Dari sudut pandangan SFV, beberapa insiden yang berlaku menimbulkan persoalan asas berkaitan kepimpinan, tadbir urus, ketelusan dan proses membuat keputusan dalam FIFA," menurut kenyataan badan itu.

Infantino dijangka bertanding untuk penggal keempat sebagai Presiden FIFA pada pemilihan Mac 2027, manakala pencabarnya mempunyai sehingga 18 November untuk mengemukakan calon alternatif. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement