Skip to main content

Sukan

Piala Dunia 2026: Kane terus berbisa, pecah rekod Lineker, Three Lions mara juara kumpulan

England’s Harry Kane (9) celebrates with England's Jude Bellingham (10) after scoring their second goal during the World Cup Group L soccer match between Panama and England in East Rutherford, N.J., near New York, Saturday, June 27, 2026. (AP Photo/Steve Luciano)
Kane (9) meraikan jaringan kedua pasukannya bersama Bellingham (10), dalam aksi Kumpulan L Piala Dunia FIFA antara Panama dan England di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey, berhampiran New York, 27 Jun 2026. (Foto AP)
Advertisement

HARRY KANE terus mengukuhkan statusnya sebagai antara penyerang terbaik dalam sejarah bola sepak England apabila muncul penjaring terbanyak negaranya di pentas Piala Dunia selepas membantu England menewaskan Panama 2-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium MetLife, awal pagi tadi.

Kapten England itu meledak gol kedua pasukan menerusi tandukan hasil hantaran silang Jude Bellingham, sekali gus mencatat 11 gol Piala Dunia, memintas rekod legenda England, Gary Lineker, yang sebelum ini mengumpul 10 gol.

Kemenangan itu turut menyaksikan England mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati sebagai juara kumpulan L, selepas mengutip 7 mata daripada dua perlawanan dan satu seri ketika bertemu Ghana tempoh hari.

Gol tersebut juga menyaksikan Kane kini mengumpul 18 jaringan dalam kejohanan utama antarabangsa bersama England, selain menjaringkan gol antarabangsa ke-82 sepanjang kariernya.

Kane sebelum ini menyamai rekod Lineker apabila menjaringkan dua gol ketika England menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi pembukaan kumpulan. Malah, Lineker sendiri pernah menyifatkan Kane sebagai "penyerang England terbaik pernah dilahirkan" susulan aksi cemerlangnya itu.

Di pentas Piala Dunia, Kane kini berkongsi kedudukan dengan bekas penyerang Jerman, Jurgen Klinsmann, dan legenda Hungary, Sandor Kocsis, yang masing-masing turut memiliki 11 gol.

Penyerang Bayern Munich itu juga masih berpeluang memburu satu lagi pencapaian bersejarah apabila bersaing untuk memenangi Kasut Emas Piala Dunia buat kali kedua. 

Ketika ini, Kane telah menjaringkan tiga gol dan hanya dibezakan dua jaringan di belakang Lionel Messi yang mengetuai senarai penjaring dengan lima gol. 

Turut bersaing ialah Kylian Mbappé, Erling Haaland, Ousmane Dembélé dan Vinícius Júnior yang masing-masing mengumpul empat gol.

Kane pernah merangkul Kasut Emas pada edisi 2018 di Rusia selepas meledak enam gol, sebelum menambah dua lagi jaringan pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Prestasi cemerlang itu melengkapkan musim luar biasanya bersama Bayern Munich dan England, dengan Kane kini telah menghasilkan 70 gol untuk kelab serta negara sepanjang musim ini.

Selepas muncul juara kumpulan, England dijadual berdepan pasukan di tangga ketiga daripada Kumpulan I atau K, yang berkemungkinan besar sama ada Senegal atau Republik Demokratik Congo, dalam aksi pusingan 32 terbaik di Atlanta pada Rabu nanti.

Must Watch Video

Advertisement