Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Son janji kembalikan kepercayaan peminat Korea Selatan

Insta @hm_son7
Son berkata satu ucapan maaf sahaja tidak mencukupi untuk menggambarkan rasa kecewa yang ditanggung oleh para penyokong. - Foto Instagram/Son Heung-Min
Advertisement

SEOUL: Kapten Korea Selatan, Son Heung-min, memohon maaf kepada rakyat negaranya susulan kegagalan skuad Taeguk Warriors melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia 2026 dan berjanji akan berusaha keras untuk mengembalikan kepercayaan serta sokongan peminat.

Menerusi satu hantaran panjang di Instagram pada Isnin, Son mengakui kekecewaan yang dirasai penyokong selepas Korea Selatan tersingkir seawal peringkat kumpulan, walaupun pasukan itu sebelum kejohanan dianggap antara skuad terbaik yang pernah dimiliki negara tersebut.

“Saya tidak tahu dari mana hendak bermula. Saya tidak boleh berpura-pura bahawa apa yang berlaku tidak terjadi dan saya juga tidak mahu lari daripada kenyataan,” tulis Son.

Beliau berkata satu ucapan maaf sahaja tidak mencukupi untuk menggambarkan rasa kecewa yang ditanggung oleh para penyokong.

“Sebagai seseorang yang mencintai bola sepak, saya dapat membayangkan betapa sedih, kecewa dan peritnya perasaan anda selepas menyaksikan perlawanan seperti itu,” katanya.

Korea Selatan menamatkan saingan Kumpulan A dengan satu kemenangan dan dua kekalahan.

Kekalahan 0-1 kepada Afrika Selatan dalam perlawanan terakhir kumpulan memusnahkan harapan mereka untuk mara sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik ke pusingan kalah mati.

Keputusan itu turut mencetuskan kritikan hebat terhadap ketua jurulatih Hong Myung-bo yang memilih untuk merehatkan Son pada separuh masa pertama perlawanan penting menentang Afrika Selatan.

Son hanya dimasukkan selepas rehat dan gagal membantu pasukan mencari gol penyamaan.

Susulan kegagalan tersebut, Hong mengumumkan peletakan jawatannya, manakala Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar penyingkiran awal pasukan negara itu.

Dalam mesejnya, Son turut memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan.

“Saya berasa bertanggungjawab kerana tidak dapat membalas masa, sokongan dan kasih sayang yang telah diberikan kepada kami,” katanya.

Pemain berusia 33 tahun yang kini beraksi bersama Los Angeles FC itu bagaimanapun berikrar untuk terus berjuang demi skuad kebangsaan.

“Daripada cuba menjelaskan segala-galanya dengan kata-kata sekarang, saya akan melakukan yang terbaik untuk memenangi semula hati rakyat Korea Selatan dan peminat bola sepak. Saya akan memberikan segala-galanya untuk membawa kegembiraan kepada anda sekali lagi,” katanya.

Son juga meminta penyokong supaya terus memberikan sokongan kepada para pemain dan tidak menjadikan mereka sasaran kritikan melampau.

“Saya dengan rendah hati memohon agar anda memberikan semangat dan galakan kepada semua pemain, dan bukannya kritikan berlebihan yang hanya akan menambah kesakitan mereka,” katanya.

Walaupun masa depannya bersama skuad kebangsaan terus menjadi tanda tanya, Son tidak menyentuh soal persaraan antarabangsa dalam kenyataannya.

Sebaliknya, beliau menegaskan akan terus bersedia dan memberikan komitmen sepenuhnya selagi khidmatnya masih diperlukan oleh negara.
 

Must Watch Video

Advertisement