Skip to main content

Sukan

PM UK, Andy Burnham bimbang andai pemilik Manchester City jual kelab

British Prime Minister Andy Burnham gives a speech during a reception at no 10 Downing Street, to recognise the contribution of organisations and volunteers who supported communities across Britain this summer, including through the recent heatwaves, wildfires and other emergencies, in London, Britain, September 21, 2026. Jonathan Brady/Pool via REUTERS
British Prime Minister Andy Burnham gives a speech during a reception at no 10 Downing Street, to recognise the contribution of organisations and volunteers who supported communities across Britain this summer, including through the recent heatwaves, wildfires and other emergencies, in London, Britain, September 21, 2026. Jonathan Brady/Pool via REUTERS

Advertisement

MANCHESTER: Andy Burnham berkata, beliau akan berasa "amat bimbang" sekiranya pemilik Manchester City dari Abu Dhabi memutuskan untuk menjual kelab itu selepas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan didapati bersalah melanggar peraturan kewangan liga.

Perdana Menteri United Kingdom (UK) itu memuji kumpulan pemilikan yang diterajui Sheikh Mansour atas pelaburan besar mereka di Manchester sejak mengambil alih kelab itu pada 2008.

"Saya benar-benar bimbang jika kehilangan mereka.

"Mereka telah menjadi rakan yang sangat penting dalam pembangunan Manchester moden dan tentunya dalam menjadikan Manchester City sebuah kuasa bola sepak global seperti hari ini," katanya kepada BBC.

Kenyataan itu dibuat ketika Manchester City berdepan tekanan susulan keputusan EPL yang mendapati kelab berkenaan menggunakan kontrak komersial yang disifatkan sebagai "palsu" bagi meningkatkan hasil pendapatan dan mengurangkan kos sebenar lebih 900 juta pound (kira-kira AS$1.2 bilion) dalam tempoh hampir sedekad.

Bagaimanapun, City terus menafikan sebarang salah laku dan mengesahkan akan mengemukakan rayuan.

Burnham yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Greater Manchester turut mengaitkan situasi City dengan pengalaman Everton, kelab yang disokongnya, ketika berdepan tindakan EPL berkaitan peraturan keuntungan dan kelestarian kewangan.

Everton sebelum ini dikenakan potongan 10 mata kerana melanggar peraturan kewangan liga bagi tempoh tiga tahun yang berakhir pada 2022, sebelum hukuman itu dikurangkan kepada enam mata selepas rayuan.

"Adalah tidak wajar untuk saya terus memihak kepada mana-mana pihak selepas pengalaman yang pernah saya lalui sebelum ini," katanya.

Beliau mengakui banyak yang dipertaruhkan buat Manchester City, para penyokongnya dan bandar Manchester sendiri memandangkan bentuk hukuman masih belum ditentukan dan proses rayuan dijangka berlangsung.

Namun, Burnham menegaskan, adalah tidak sesuai untuk beliau campur tangan dalam proses tatatertib yang sedang berjalan.

"Saya sedar banyak yang dipertaruhkan, tetapi saya tidak sepatutnya mencampuri proses tersebut," katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement