LONDON: George Russell memiliki kelebihan psikologi berbanding pencabar kejuaraan dunia Formula Satu (F1), Kimi Antonelli, menurut bekas ketuanya Claire Williams menjelang Grand Prix Britain yang dijangka menjadi penentu hujung minggu ini.
Russell akan mengharungi perlumbaan di laman sendiri di Litar Silverstone dengan keyakinan tinggi selepas kemenangan yang amat diperlukan di Grand Prix Austria membolehkannya mengurangkan jurang mata dengan rakan sepasukan Mercedes itu daripada 50 kepada 40 mata.
Russell memulakan musim ini sebagai calon pilihan untuk muncul juara dunia, namun Antonelli yang baru berusia 19 tahun dan hanya menjalani musim kedua dalam F1, telah memenangi lima daripada lapan perlumbaan setakat ini untuk mendahului kedudukan keseluruhan.
Bagaimanapun, Williams yang memberi Russell peluang pertama beraksi dalam F1 bersama pasukan Williams pada 2019, yakin pelumba Britain itu mampu mengatasi Antonelli dari sudut psikologi sekiranya perebutan gelaran ditentukan oleh kekuatan mental.
“Berdasarkan pengalaman saya bersama George, beliau mempunyai kemampuan untuk memenangi persaingan psikologi itu dan seterusnya merangkul kejuaraan dunia,” kata Williams yang pernah bertindak sebagai prinsipal de facto pasukan Williams.
“George sangat mengenali dirinya. Setiap hari beliau akan memikirkan, ‘Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi rakan sepasukan saya? Dan bagaimana saya boleh memenangi persaingan itu?’
“Situasinya sama seperti persaingan antara Lewis Hamilton dan Nico Rosberg di Mercedes pada 2016 apabila Nico muncul juara dunia. Persaingan psikologi itulah yang menentukan kemenangan. Dan kerana George memiliki tahap kematangan yang lebih tinggi berbanding Kimi ketika ini, disebabkan faktor usia dan pengalaman, di situlah beliau akan memenangi persaingan itu.
“George pernah bercerita bahawa ketika berlumba karting, beliau digelar ‘Grandpa’ kerana bersikap jauh lebih matang berbanding usianya.
“Jadi saya percaya beliau memiliki segala yang diperlukan. Beliau mempunyai bakat. Apa yang penting sekarang ialah memastikan jentera Mercedes boleh diharap untuk membawanya meraih kejuaraan.”
Russell, 28, menegaskan pada perlumbaan lalu bahawa beliau akan “100 peratus” kekal bersama Mercedes musim depan tanpa mengira apa yang berlaku dalam baki 14 perlumbaan musim ini. Juara dunia Max Verstappen sebelum ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Silver Arrows.
Williams berkata ketika Russell masih bersama Williams dan mahu menamatkan kontraknya kerana melihat Mercedes ketika itu mendominasi perlumbaan, beliau menasihati pelumba itu bahawa tempoh sukar yang dilaluinya akan menjadi pengalaman berharga.
“Ketika itu saya beritahu George, ‘Tahun-tahun ini mungkin sukar dan kamu mungkin berasa kecewa sekarang, tetapi pengalaman itu akan memberi manfaat pada masa depan serta membina daya tahan yang mungkin kamu perlukan kemudian dalam kerjaya Formula Satu.’
“George seorang yang sangat teliti dan mementingkan kesempurnaan. Itu hanya akan menjadi kelebihan dalam situasi yang dihadapinya musim ini.
“Kita tidak tahu bagaimana reaksinya jika Kimi akhirnya muncul juara dunia, namun George seorang profesional sejati. Beliau akan menerimanya, menanganinya dan menjadikannya pembakar semangat untuk tampil lebih kuat pada musim 2027,” katanya.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa