KOTA KINABALU: Sabah FC menewaskan kelab Brunei, Kasuka FC 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Likas di sini, semalam sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/2027.
Pemain Gonzalo Di Renzo membuka jaringan seawal minit kedua sebelum Sabah FC menggandakan kelebihan menerusi gol sendiri pemain Kasuka FC Park Jungbin, seterusnya melengkapkan kemenangan menerusi jaringan pada minit ke-71, untuk memastikan skuad kendalian mereka mencatat kemenangan selesa.
Pengurus Sabah FC Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata aksi berkenaan penting dalam usaha pasukan membentuk keserasian dan memperkemas kombinasi antara pemain menjelang musim baharu.
“Pasukan Sabah FC sedang membuat persiapan dan bersedia untuk menghadapi musim Liga Super yang baharu. Kita ada perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Brunei dan seterusnya akan mengadakan kem pramusim di Bali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhd Arziz Afizy berkata Sabah FC akan berlepas ke Bali esok untuk menyertai Dewata Challenge Series 2026 dengan dua aksi persahabatan menentang kelab gergasi Indonesia Bali United pada 13 Ogos dan Persib Bandung pada 15 Ogos.
Beliau berkata kem pramusim di Bali penting, bagi memberi peluang kepada pasukan memperkemas keserasian serta kombinasi pemain sebelum saingan Liga Super 2026/2027 bermula.
Sementara itu, Muhd Arziz Afizy menjelaskan kemunculan Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC Alto Linus yang diturunkan dalam aksi menentang Kasuka FC, hanya bagi memenuhi keperluan penggantian pemain dalam perlawanan berkenaan.
Beliau berkata Alto tidak akan didaftarkan sebagai pemain Sabah FC bagi menghadapi musim 2026/2027.
“Kita mengharapkan sokongan padu daripada seluruh penyokong Sabah FC pada musim 2026/2027 ini. Teruslah menyokong kita, kerana penyokong adalah kekuatan dan semangat pasukan ini untuk berjuang dalam saingan Liga Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA