Skip to main content
Advertisement

Sukan

Sepanyol juara Piala Dunia Wanita B-20 FIFA, tumpaskan Korea Utara menerusi penalti

Soccer Football - FIFA Under-20 Women's World Cup - Final - Spain v North Korea - Stadion Miejski LKS, Lodz, Poland - September 27, 2026 Spain players celebrate after winning the Under-20 Women's World Cup REUTERS/Kacper Pempel
Pemain Sepanyol meraikan kejayaan selepas menjuarai Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun. - Foto REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Sepanyol menewaskan juara bertahan Korea Utara 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada Ahad untuk muncul juara Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun (B-20) FIFA di Lodz, Poland, lapor Anadolu Ajansi.

Aksi final di Stadion Miejski LKS Lodz berakhir tanpa jaringan selepas 90 minit permainan dan masa tambahan, sebelum penjaga gol Sepanyol, Lopez muncul wira dengan menyelamatkan sepakan Choe Yon-A dan Pak Il-Sim dalam penentuan penalti.

Kedua-dua pasukan saling mencipta peluang sepanjang perlawanan, dengan Lopez melakukan satu penyelamatan penting pada separuh masa pertama selepas Ho Kyong memperoleh bola di luar kotak penalti susulan kesilapan pertahanan Sepanyol.

Sepanyol meningkatkan tekanan selepas rehat apabila Pau Comendador memaksa penjaga gol Korea Utara, Pak Ju-Gyong melakukan penyelamatan pada minit ke-78.

Perlawanan kemudian berlanjutan ke masa tambahan, dengan penyerang Sepanyol Marisa Garcia dua kali hampir memecah kebuntuan, namun kedua-dua percubaannya dinafikan Pak.

Lopez sekali lagi menjadi watak penting dalam penentuan penalti untuk membantu Sepanyol merangkul gelaran Piala Dunia Wanita B-20 kedua selepas kejayaan pada edisi 2022 di Costa Rica.

Final berkenaan merupakan ulangan perlawanan penentuan Piala Dunia Wanita B-17 FIFA 2024 apabila Korea Utara menewaskan Sepanyol 4-3 menerusi penentuan penalti.

Beberapa pemain yang beraksi dalam perlawanan itu kembali tampil di Lodz, sekali gus memberi peluang kepada Sepanyol menebus kekalahan.

Korea Utara mara ke final dengan rekod tanpa kalah selepas memenangi kesemua perlawanan tanpa bolos, selain turut muncul juara dunia B-17 dan B-20 pada 2024.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement