Skip to main content

Sukan

Tinju: Bangkit daripada dua knockdown, Anthony Joshua tumpaskan Prenga di pusingan kedua

Boxing - The Comeback - Anthony Joshua v Kristian Prenga - Jeddah Superdome, Jeddah, Saudi Arabia - July 26, 2026 Kristian Prenga in action with Anthony Joshua during their heavyweight fight REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa
Bekas juara heavyweight dunia, Anthony Joshua (kiri) bangkit daripada dua 'knockdown' pada pusingan pertama sebelum menewaskan Kristian Prenga menerusi 'knockout' pada pusingan kedua di Jeddah, Arab Saudi. - REUTERS/Ibraheem Abu Mustafa
Advertisement

BEKAS juara heavyweight dunia, Anthony Joshua bangkit daripada dua 'knockdown' pada pusingan pertama sebelum menewaskan Kristian Prenga menerusi 'knockout' pada pusingan kedua di Jeddah, Arab Saudi.

Pertarungan heavyweight itu berlangsung di Jeddah Superdome pada Sabtu dan menjadi aksi penting buat Joshua dalam usaha membina semula momentum kariernya.

Joshua hampir dikejutkan pada pusingan pertama apabila Prenga menjatuhkannya dua kali menerusi serangan padu yang jelas menggugat kestabilan bekas juara dunia itu.

Namun, petinju Britain tersebut berjaya melepasi detik cemas itu sebelum kembali lebih agresif pada pusingan kedua.

Joshua meningkatkan tekanan dengan kombinasi tumbukan ketika Prenga mula kelihatan semakin perlahan.

Serangan penentu hadir pada pertengahan pusingan kedua apabila Joshua melepaskan tumbukan kanan kuat yang menjatuhkan Prenga sehingga lawannya terjatuh berhampiran tali bawah gelanggang.

Pengadil kemudian menghentikan pertarungan pada minit 2:43 pusingan kedua, sekali gus mengesahkan kemenangan dramatik Joshua.

Kemenangan itu memastikan Joshua terus berada di landasan untuk pertarungan besar menentang Tyson Fury yang dijangka berlangsung sebelum akhir tahun ini.

Promoter Joshua, Eddie Hearn berkata perjanjian untuk pertarungan Joshua-Fury sudah ditandatangani, namun beberapa butiran termasuk lokasi masih perlu dimuktamadkan.

Joshua turut menggunakan sesi temu bual selepas pertarungan untuk memberi bayangan jelas bahawa tumpuannya kini beralih kepada Fury.

“Saya menghormati segala pencapaiannya, tetapi sebagai petinju yang sudah lama mahukan pertarungan ini, saya fikir peminat akan menikmati aksi tersebut,” kata Joshua.

Pertarungan Joshua menentang Fury sudah lama dianggap antara pertarungan terbesar dalam tinju heavyweight Britain, namun beberapa percubaan sebelum ini gagal direalisasikan.

Kemenangan ke atas Prenga tidak hadir dengan mudah, tetapi cara Joshua bangkit selepas dua kali dijatuhkan memberi gambaran bahawa beliau masih mampu bertahan dalam situasi getir.

Bagaimanapun, aksi itu juga menimbulkan persoalan mengenai tahap pertahanan dan ketahanan Joshua menjelang pertemuan lebih besar menentang Fury.

Sekiranya pertarungan itu dimuktamadkan, Joshua-Fury dijangka menjadi antara acara tinju paling besar tahun ini.


--Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video

Advertisement