ROM: Keganasan meletus dalam kalangan penyokong bola sepak sebelum perlawanan Liga Juara-Juara UEFA antara SSC Napoli dan FC Union Berlin pada Rabu malam, mengakibatkan 11 penyokong Berlin ditahan.

Ketua Polis Naples Maurizio Agricola pada Rabu berkata kira-kira 300 peminat Union Berlin bertindak merosakkan kereta dan kedai sekitar Piazza Dante Naples, membawa kepada penahanan 10 daripada 11 penyokong pasukan dari Jerman itu kerana merosakkan harta benda.

Dalam kejadian berasingan, seorang lagi penyokong Union Berlin ditahan kerana menyerang anggota polis dan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan polis.

"Matlamat peminat Jerman adalah untuk cuba bertempur dengan penyokong Napoli. Bagaimanapun, polis berjaya menghalang kedua-dua pihak daripada bertembung," kata Agricola pada sidang media lapor Xinhua.

Polis juga meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar Stadium Diego Armando Maradona di Naples menjelang perlawanan dan di dalam stadium.

Polis berkata, tiada tangkapan terhadap penyokong Napoli kerana kebanyakan tindakan agresif datang daripada penyokong pasukan pelawat.

Kedua-dua liga bola sepak Itali dan Jerman mempunyai sejarah pertembungan ganas melibatkan penyokong.

--BERNAMA-XINHUA