Menjelang tahun 2016, Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Terry Walsh menjangkakan tahun yang paling sibuk buat pasukan apatah lagi dengan program pembangunan negara yang dijalankan bagi misi melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

Kegagalan layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 ingin segera dilupakan dengan Terry mahu skuad hoki negara beri tumpuan sepenuhnya untuk kelayakan ke Piala Dunia 2018.

Projek 2020 dan program 1MAS antara platform yang digunakan bagi membentuk skuad pasukan hoki Malaysia dalam misi untuk layak ke Olimpik 2020.

Malah, penstrukturan semula barisan kejurulatihan negara juga menjadi faktor penting dalam memastikan program pembangunan yang diatur berjalan lancar.

"2016 kami cuba mengetengahkan program untuk skuad wanita dan serasikan dengan skuad lelaki, kami akan memperkenalkan barisan kejurulatihan baru dalam program ini.

Kami mahu meningkatkan kualiti jurulatih bagi skuad hoki wanita dan lelaki," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program pembangunan hoki, Tai Beng Hai pula optimis dengan program yang bakal dijalankan itu dapat memberi hasil yang positif buat pasukan.

"Buat masa ini kami dalam proses menubuhkan secara berperingkat skuad kebangsaan.

Contohnya,pasukan B16 B18 bagi mendapatkan pembangunan skuad hoki secara menyeluruh," jelasnya.

Projek 2020 adalah salah satu projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi melihat kembali prestasi pemain-pemain di samping program untuk pemain bawah 16 tahun secara berperingkat.