SPORTS
96 sekolah sertai Kejohanan Piala Dato' Mokhtar Dahari, RMS 2025

Imran (enam, kanan) bergambar bersama penaja ketika Majlis Penyerahan Tajaan bagi Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari di Seksyen 15 Shah Alam pada Rabu. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Sebanyak 96 sekolah rendah dan menengah seluruh Selangor akan menyertai Kejohanan Piala Dato' Mokhtar Dahari dan Piala Raja Muda Selangor (RMS) 2025, yang berlangsung secara berperingkat, bermula Oktober.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Datuk Emran Kadir berkata kejohanan itu, melibatkan masing-masing 32 pasukan bagi Piala Dato' Mokhtar Dahari bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun, serta bawah 12 tahun untuk Piala RMS.
Beliau berkata kejohanan dicetuskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah itu, bertujuan menjadi platform pencarian bakat serta pelapis bola sepak peringkat akar umbi.
"Hasrat baginda agar kejohanan ini melahirkan seramai mungkin bakat bukan sahaja untuk Selangor tetapi juga negara."Pemain yang mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan sebelum ini, ada diterima masuk ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari," katanya pada sidang media kejohanan di sini semalam.
Emran berkata kejohanan tahunan itu mengikut jadual disusun Jabatan Pendidikan Selangor, supaya tidak mengganggu pembelajaran peserta khususnya mereka yang akan menduduki peperiksaan.
Setiap pasukan juga diberikan tajaan untuk menampung perbelanjaan pengangkutan, jersi dan keperluan lain.
Pada tahun ini, Emran berkata kejohanan itu menerima tajaan lebih RM300,000 melibatkan dua anak syarikat kerajaan Selangor sebagai penaja utama, selain pihak swasta dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Juara Piala Dato' Mokhtar Dahari bawah 18 tahun akan menerima RM10,000, manakala johan kategori bawah 15 tahun membawa pulang RM8,000 dan hadiah RM5,000 kepada Juara Piala RMS, selain pemenang setiap kategori turut menerima medal.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami