Ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah melakar sejarah menjadi atlet luncur air pertama Asia memenangi acara tricks bagi kategori junior kejohanan Moomba Masters yang berprestij di Melbourne, Australia pada Sabtu.

Remaja berusia 16 tahun itu yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan tersebut pada tahun 2013, mengumpul 6,900 mata, mengatasi dua peluncur dari Australia - Sade Ferguson (5,770) dan Tayla Simmonds (5,710) yang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Dalam acara jump, Aaliyah meraih podium pertamanya selepas menduduki tangga kedua dengan catatan 36.5 meter. Ferguson menjuarai acara itu dengan catatan 40.1 meter manakala peluncur Amerika Syarikat Alyssa Drake merangkul tempat ketiga dengan 33.3 meter.

Beliau juga mempamerkan aksi yang hebat dalam acara slalom, meraih tempat kelima dengan catatan 1.5/55/12 walaupun menjadi pilihan kelapan.

Aaliyah mengumpulkan skor keseluruhan 2,716.25 mata dalam tiga acara untuk merangkul tempat kedua. Ferguson, pemenang keseluruhan yang mengumpul 2,836.23 mata manakala Layne Moroney dari Australia di tempat ketiga dengan 1,948.51 mata.

"Saya gembira kerana berjaya melakar kemenangan iaitu satu tempat pertama dan dua di tempat kedua dan sudah pasti teruja untuk menyaksikan pula saingan dalam kategori terbuka yang berlangsung pada hujung minggu ini sehingga Isnin (cuti umum)," menurut Aaliyah dalam kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF).

Jurulatih beliau yang juga merupakan bapa Aaliyah, Hanifah Yoong berkata beliau berpuas hati dengan prestasi cemerlang anaknya.

"Ia adalah podium tertinggi pertama anaknya di sini dan trofi bagi acara jump pertama serta turut meraih trofi sebagai pemenang keseluruhan kedua, menurut Hanifah.

Beliau mendedahkan bahawa kemenangan itu membolehkan Aaliyah menyertai semua disiplin dalam Kejohanan Remaja Dunia di pantai Santa Rosa di Florida, Amerika Syarikat pada Ogos.

Kejohanan Moomba Masters pertandingan luncur air yang terkenal, diadakan setiap tahun di Sungai Yarra di Melbourne.

-- BERNAMA