KUALA LUMPUR: Pelagak aksi ngeri bermotosikal wanita yang mencipta nama menerusi lompatannya pada acara sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya 31 Ogos lepas melihat terdapat keperluan bagi pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat (Army Red Warrior) untuk mencari pelapis baharu bagi pelagak aksi ngeri bermotosikal wanita menjelang hujung tahun ini.

Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin, 35, berkata wujud keperluan untuk mencari pelapis baharu kerana beliau ingin berehat seketika selepas berjaya melakukan lompatan bersejarah pada Hari Kebangsaan 2023 yang menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia itu.

Beliau berkata pelapis baharu perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat untuk menjadi calon pelagak aksi ngeri bermotosikal wanita dan ia akan menjadi keutamaan dalam pemilihan berkenaan.

"Saya mempunyai pasangan penunggang wanita tapi beliau ketika ini sedang menjalankan misi Malaysia Batalion (MALBATT) di luar negara dan hanya akan pulang ke tanah air pada hujung tahun ini.

"Selepas pemilihan, jurulatih akan tengok sama ada tingkat keyakinan mereka (calon) tinggi atau tidak semasa membuat persembahan berkenaan (pelagak aksi ngeri motosikal wanita)," katanya semasa ditemu bual Bernama Radio baru-baru ini.

Saidatul Husna berkata aktiviti ekstrem sedemikian boleh dilakukan wanita tetapi perlu kena pada tempatnya misalnya seperti menyertai pasukan Army Red Warrior.

Beliau sebelum ini telah berjaya mempersembahkan lompatan merentasi 66 motosikal Royal Enfield di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos lepas.

Anak kelahiran Kedah itu telah mencipta rekod Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita) yang dicatatkan di Malaysia Books of Record pada persembahan tatu Tentera Darat Malaysia bersempena Hari Tentera Darat ke-90 di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada Mac 2023.

"Pada Mac lepas saya telah cipta Malaysia Books of Record (dan yang terbaru lompatan merentasi 66 motosikal di hadapan Yang di-Pertuan Agong, mungkin saya nak berehat terlebih dahulu. Cuma persembahan-persembahan biasa saya tetap akan buat.

"Bagaimanapun, buat masa ini saya tiada sebarang perancangan lagi, tetapi untuk ahli pasukan lelaki, Insya-Allah mereka ada perancangan untuk buat lompatan mencipta MBOR iaitu sejauh 40 hingga 43 meter pada tahun hadapan," katanya.

Mewakili pasukannya yang dianggotai dua pegawai dan 48 anggota, beliau turut melahirkan harapan agar syarikat motosikal di luar sana tampil menaja motosikal baharu bagi memudahkan pasukan itu menjayakan persembahan pada masa akan datang.

-- BERNAMA