SHAH ALAM: Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan pemain Harimau Malaya hilang fokus kerana sorakan penyokong amat memalukan.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Faizal tersebut adalah tidak matang dan seolah-olah tidak memahami konsep permainan bola sepak.

“Kenapa penyokong perlu dipersalahkan? Kami hadir memberikan sokongan dan penyokong Ultra Malaya berjam-jam bersorak dan menyanyikan lagu semangat agar pemain terus mengekalkan rentak permainan sehingga tamat perlawanan.

“Awak duduk di bangku VVIP pun bersorak juga. Kenapa nak salahkan penyokong-penyokong lain? Kalau tidak tahu membuat kenyataan, baik diam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan, Faizal berkata, faktor luaran seperti kehadiran 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan berlangsung turut menjadi punca kerana ia boleh menyebabkan pemain negara hilang fokus.

Menurut Ahmad Faizal, beliau tidak merasakan penjaga gol Harimau Malaya, Farizal Marlias sebagai punca jaring pasukan Malaysia bolos kepada Bahrain dengan keputusan 1-2 sehingga ke akhir perlawanan.

Muhamad Muqharabbin turut memuji sikap semua penyokong yang hadir, ini kerana meskipun dalam keadaan hujan lebat, meletakkan kenderaan hampir dua kilometer dari stadium, namun tetap hadir memberikan sokongan padu.

“Lagi-lagi ekor Harimau Malaya iaitu Ultra Malaya yang hadir seawal 5 petang mempersiapkan segala gendang perang agar dapat meningkatkan semangat pemain bola sepak negara.

“Apapun, pujian harus kita berikan kepada pasukan Harimau Malaya kerana berjaya memberikan aksi terbaik walaupun keadaan padang yang basah.

“Banyak peningkatan yang dapat dilihat dan kita harus sama-sama doakan agar perlawanan menentang Bangladesh nanti, kita menang besar,” ujarnya.


*Artikel asal di Sinar Harian