AIRBUS RACER (Rapid And Cost-Effective Rotorcraft) diperlihatkan pada 2017 sebagai usaha Airbus untuk menghasilkan “helikopter” paling pantas di dunia.

Ketika masih dikenali sebagai pesawat eksperimen X3, ia memegang rekod sebagai helikopter terpantas dengan kelajuan mencecah 472 km/j.

Selepas lebih tujuh tahun rekaan konsep diperlihatkan Airbus RACER akhirnya melakukan penerbangan pertama minggu ini.

Kami katakan RACER ialah sebuah “helikopter” kerana ia lebih cocok dikategorikan sebagai sebuah helikopter hibrid kerana mempunyai kipas helikopter dan juga dua kipas penolak yang dipasang pada dua sayap kecil pada sisi pesawat.

Dengan konfigurasi ini juga RACER tidak memerlukan kipas pada bahagian ekor.

Apabila bergerak pada kelajuan tinggi, kelajuan kipas utama akan dikurangkan. Sayap kecil akan mengambil alih sebahagian daya pengangkat dibantu oleh tujahan dua enjin penolak.

Salah satu enjin yang menguasakan kipas penolak ini juga kemudian akan dimatikan bagi membolehkan pengurangan penggunaan bahan api sehingga 25 peratus.

Menerusi RACER, Airbus bukan sahaja ingin menghasilkan helikopter yang lebih pantas tetapi juga lebih lestari.

Penyelesaian yang diambil Airbus lebih mudah berbanding rekaan Boeing Bell HSVTOL yang terbang menegak seperti V-22 Osprey sebelum kipas ini dilihat dan pesawat kemudiannya terbang mendatar menggunakan kuasa enjin jet.

HSVTOL mampu terbang lebih pantas dengan sasaran lebih 700 km/j. -Amanz