Selepas dikecewakan pasukan Qatar pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia, pengendali negara, Datuk K. Rajagobal kini menaruh harapan kepada aksi lebih baik berdepan Yaman.

Seramai 17 pemain melaporkan diri di Wisma FAM semalam bagi mengikuti kem latihan skuad kebangsaan.

Hanya penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha diberi pengecualian berikutan isterinya bakal melahirkan anak sulung.

Sementara sembilan pemain, masing-masing lima dari Selangor serta empat yang mewakili pasukan Kelantan hanya akan melaporkan diri selepas saingan Piala AFC pertengahan minggu ini.

Amiridzwan Taj, K. Reuben dan Aidil Zafuan Abdul Radzak pula mengalami kecederaan dan menjalani latihan ringan.

Lantas Rajagobal enggan terlalu memikirkan strategi pasukannya sehinggalah semua pemain telah melaporkan diri kelak.

Skuad Harimau Malaya akan berdepan Arab Saudi untuk aksi persahabatan pada 17 Mac ini sebelum melayan kunjungan Yaman di Shah Alam, lima hari kemudian.