KUALA LUMPUR: Arena bola sepak negara semalam kehilangan seorang pakar taktikal dan jurulatih berperwatakan tegas B. Sathianathan yang meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1.25 tengah hari Selasa.

Menghembuskan nafasnya pada usia 65 tahun, mendiang meninggalkan isteri dan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan.

Mendiang yang mempunyai pengalaman lebih empat dekad sebagai pemain dan jurulatih bola sepak, merupakan individu yang terkenal dengan keberanian dan kelantangannya dalam menyuarakan pendapat serta kritikan berkaitan sukan bola sepak.

Selain telah membuktikan kewibawaan selaku perancang terbaik apabila dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Kebangsaan sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017), beliau juga menjadi rujukan dalam hal-hal berkaitan bola sepak.

Selaku Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), beliau sentiasa tampil membela nasib jurulatih tempatan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji dan sering menjadi 'kambing hitam' sekiranya prestasi pasukan tidak memuaskan.

Lahir pada 9 Mei 1958 di Parit, Perak, Sathianathan memulakan kerjayanya sebagai pemain bersama Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan pada 1977.

Beliau kemudian beraksi bersama Negeri Sembilan dan Melaka dalam kancah Liga Malaysia dari 1978 hingga 1989, serta pernah menyarung jersi kebangsaan dalam 15 aksi sejak 1979 hingga 1983.

Sathianathan memulakan kerjaya kejurulatihan bersama NS Youth pada 1990, pernah mengemudi skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan bermula 2006 sehingga muncul juara Pestabola Merdeka 2007.

Kejayaan itu menyaksikan beliau diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab selaku Ketua Jurulatih Harimau Malaya sehingga awal 2009 sebelum kontraknya ditamatkan.

Mendiang kemudian melebarkan sayapnya selaku antara jurulatih terbaik dalam saingan Liga Malaysia apabila mengemudi beberapa pasukan seperti Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Felda United dan Selangor.

Sarawak United menjadi pasukan terakhir mendapat sentuhan beliau, sebelum mendiang membuat keputusan untuk berehat kerana faktor kesihatan sejak pertengahan 2022.

Dalam tempoh 2009-2022 mengemudi pasukan di Liga Malaysia, Sathianathan pernah merangkul gelaran Piala Malaysia bersama Kelantan pada 2010 serta kejuaraan Liga Premier bersama ATM dan Felda United masing-masing pada 2012 dan 2018.

Mendiang juga merupakan antara beberapa jurulatih tempatan yang pernah menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dianggap kebal ketika mengemudi Felda United mencatatkan kemenangan 3-2 pada aksi Liga Super 2017.

Selain lantang menyuarakan isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih, mendiang turut memperjuangkan hak jurulatih tempatan yang ditindas pihak majikan selain sering membantu pemain dari segi kewangan apabila pihak kelab tidak membayar gaji.

Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir boleh hadir di kediamannya di No.19, Jalan Panglima Awang 35/120, Alam Impian, Seksyen 35, 40460 Shah Alam bermula 3 petang esok.

Jasad mendiang akan di bawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam untuk disemadikan (cremation) selepas selesai upacara sembahyang di kediamannya pada Khamis. - BERNAMA