JURULATIH perseorangan negara, Hendrawan menyeru rakyat Malaysia supaya terus memberi sokongan padu kepada ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang masih mengidamkan pingat emas pertama di Sukan Olimpik, Rio 2016.

Menurut laporan Harian Metro, Hendrawan berpendapat pemain India, B Sai Praneeth boleh mencipta kemenangan besar ke atas pemain No. 2 dunia kerana dia tidak beraksi bawah tekanan yang sama seperti Chong Wei.

“Bagi saya, kekalahan hari ini (semalam) wajar kerana penampilan Sai Praneeth ternyata lebih bagus. Tiada apa yang difikirkannya yang menyaksikan kualiti permainannya menjadi luar biasa," katanya.

Walaubagaimanapun, Hendrawan menegaskan bahawa sasaran utama Chong Wei adalah Sukan Olimpik dan hanya temasya itu boleh menilai prestasi sebenarnya.

“Harap semua masih letakkan kepercayaan kepada Chong Wei kerana sasaran utamanya masih Sukan Olimpik Rio.

“Saya dan Chong Wei akan melakukan perbincangan dan penilaian susulan kekalahan ini,” tambahnya.

Arena badminton negara semalam dikejutkan dengan berita kekalahan Chong Wei di pusingan pertama kejohanan All-England apabila dia tewas 22-24, 20-22 kepada Sai Praneeth.