BAM lantik tiga jurulatih baharu

Harry Hartono dilantik sebagai jurulatih perseorangan lelaki, Yeoh Kay Bin sebagai jurulatih perseorangan lelaki remaja. - Foto BAM
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan pelantikan tiga jurulatih baharu bagi memperkukuh barisan kejurulatihan negara, selaras dengan usaha berterusan badan itu untuk meningkatkan prestasi dan pembangunan pemain di semua peringkat.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Dr Lee Chong Wei berkata langkah strategik tersebut menyaksikan Harry Hartono dilantik sebagai jurulatih perseorangan lelaki, Yeoh Kay Bin sebagai jurulatih perseorangan lelaki remaja, manakala Mohd Zakry Abdul Latif mengambil peranan sebagai jurulatih beregu wanita.
"Kita telah membincangkan perkara ini dengan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kenneth Jonassen dan beliau telah mengemukakan senarai calon jurulatih dengan penekanan terhadap kesinambungan pembangunan pemain muda.
"Kami berdua merupakan bekas pemain dan memahami keperluaan jurulatih, dan beliau juga memberikan pandangan mengenai peranan paling sesuai bagi jurulatih ini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan BAM hari ini.
Harry dan Kay Bin akan bekerjasama dalam membimbing skuad perseorangan lelaki negara bersama Datuk Tey Seu Bock sebagai ketua jurulatih, serta K. Yogendran, Alvin Chew dan Goh Giap Chin.
Chong Wei menyatakan keyakinan bahawa pengalaman dan kepakaran ketiga-tiga jurulatih itu akan memberi nilai tambah yang besar kepada program latihan skuad negara dan membantu melahirkan pemain yang mampu bersaing secara konsisten di peringkat antarabangsa.
"Saya juga telah bertemu dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky yang secara peribadi mencadangkan Zakry sebagai seorang daripada calon," katanya.
Dalam barisan kejurulatihan beregu wanita, Zakry akan bekerjasama dengan Ketua Jurulatih Rosman Razak, serta Ching Kai Feng dan Amelia Anscelly.
Kesemua ketiga-tiga jurulatih itu akan mula menjalankan tugas secara rasmi pada Februari ini, dengan Kay Bin melapor diri pada 3 Feb, Harry (10 Feb) dan Zakry (20 Feb).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


