Jangkaan sesetengah pihak, bahawa Barcelona akan meraih kemenangan besar berdepan skuad kebangsaan meleset, apabila gergasi Catalan itu sekadar menang 3-1, pada aksi Pra Musim Jelajah Asia, yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam tadi.

Barcelona menepati menepati jangkaan, untuk memulakan perlawanan dengan corak menyerang yang menguji kemampuhan benteng negara.

Namun, Barca hanya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-33, apabila Cesc Fabregas berjaya menyudahkan hantaran silang Jordi Alba dari sebelah kanan kawasan negara.

Harimau Malaya bingkas bangkit, apabila Amri Yahyah bijak menyempurnakan umpanan S.Kunanselan pada minit ke-40, untuk jaringan penyamaan skuad negara.

Tersentak, Barca meningkatkan tempo permainan dan kembali di depan pada minit ke-42 menerusi Neymar yang bijak memperdayakan benteng negara.

Perlawanan kemudian menjadi sedikit tegang pada hujung babak pertama, apabila berlaku pertelingkahan antara Fabregas dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Namun, Neymar dan kapten negara, Safiq Rahim berjaya meleraikan kedua-dua pemain itu.

Masuk babak kedua, Barca meneruskan dominasi perlawanan tetapi tetap sukar menembusi benteng kebangsaan yang dikemudi Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Gol ketiga Barca hanya kunjung tiba ketika perlawanan berbaki 15 minit, menerusi tonggak pertahanan, Gerrard Pique.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dan ini adalah kemenangan paling tipis Barcelona, dalam tiga aksi pra musim.

Barca sebelum ini menewaskan Santos 8-0 dan Thailand 7-1 dalam dua aksi awal pra musim.