Gergasi bolasepak Sepanyol, Barcelona bakal melangsungkan perlawanan di Bangladesh, Ogos hadapan iaitu hampir dua tahun selepas bintang Lionel Messi mengkagumkan ribuan peminat di ibu kota negara itu.

“Barcelona telah menyatakan minat mereka untuk bermain di Bangladesh,” kata presiden Persatuan Bolasepak Bangladesh (BFF) Kazi Salahuddin kepada AFP.

Pasukan itu telah memohon tiga juta Euro (RM12,528,204) sebagai yuran untuk mereka beraksi di sana nanti.

Jumlah itu dikatakan hampir sama yang dibelanjakan Bangladesh apabila menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan antara Argentina dengan Nigeria pada September 2011.

“Jika semua berjalan lancar, mereka boleh kunjungi Bangladesh pada bila-bila masa sekitar Ogos semasa kelab itu menjelajahi Asia,” kata Salahuddin.

Setiausaha Agung BFF Abu Nayeem Shohag berkata pihak berkuasa telah melihat pilihan yang berbeza untuk menaikkan yuran serta mencari lawan yang kuat untuk berdepan dengan Catalan di Dhaka.

Bola sepak merupakan sukan yang popular di Bangladesh dengan sejumlah besar peminat yang sanggup berjaga sehingga lewat malam untuk menonton perlawanan liga Inggeris dan Sepanyol.