KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara Bertrand Rhodict Lises berharap dapat dimasukkan dalam program Road to Gold (RTG) bagi mempertingkat persediaannya ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Pemuda Sarawak berusia 18 tahun itu, yang merupakan satu-satunya penerjun Malaysia layak ke Olimpik kali ini, dijangka mengetahui kedudukannya selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG minggu depan.

"Lebih mudah untuk mendapatkan apa yang saya perlukan jika dimasukkan ke dalam RTG, jadi saya harap yang terbaik.

"Jika boleh dimasukkan ke dalam RTG ia adalah satu kelebihan, sebab saya tahu saya muda dan boleh berusaha untuk ke beberapa (edisi) Olimpik lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas tinjauan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paris Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya Datuk Nicol David ke sesi latihan beliau di sini semalam.

Bertrand layak ke Olimpik Paris dalam acara 10 meter platform lelaki pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lepas, namun belum dimasukkan ke dalam program itu kerana beliau tidak memenuhi dua kriteria utama iaitu berada pada kedudukan 10 terbaik dunia dan telah memenangi pingat Olimpik.

Bagaimanapun, setelah nama-nama besar sukan terjun negara seperti Datuk Pandelela Rinong and Nur Dhabitah Sabri, layak ke Paris ketika Kejohanan Dunia di Doha baru-baru ini, Bertrand dilihat mempunyai peluang untuk disertakan dalam RTG bagi membantu persediaannnya.

Atlet di bawah program itu, yang bermatlamat membawa pulang emas Olimpik pertama negara sama ada di Paris atau Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), layak menerima sokongan sains sukan, pendedahan pertandingan dan kejurulatihan tambahan serta elaun RM 3,000 sebulan selain elaun Program Podium.

Bertrand berkata beliau dijangka berangkat untuk latihan ke luar negara pada 14 Mac ini untuk meningkatkan tahap kesukaran terjunan dan kedudukan bagi menghadapi cabaran Olimpik.

"Saya tidak pasti saya akan ke mana, pilihannya ialah Amerika Syarikat, Mexico dan United Kingdom (UK). Saya meminta untuk ke UK kerana lebih mudah untuk bergerak dari Paris dan boleh menaiki tren bersama pasukan UK di London," katanya.

Sementara itu, Hamidin berkata beliau akan mencadangkan kepada Jawatankuasa RTG untuk kemasukan Bertrand.

"Beliau masih muda, mempunyai potensi yang besar dan boleh beraksi dalam beberapa Olimpik lagi. Beliau ialah masa depan bagi Malaysia jadi kita mesti menjaga beliau, tetapi beliau perlu memperbaiki kedudukan daripada ranking ke-12 kepada 10 teratas," katanya.

Hamidin turut mengakui bahawa semua pihak perlu menerima hakikat bahawa saiz kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris akan lebih kecil daripada edisi-edisi sebelum ini.

Keutamaan menurutnya ialah memberi rangsangan kepada atlet yang telah layak dan berkemungkinan besar untuk layak seperti atlet berbasikal basikal Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta pasangan beregu badminton Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam misi mengejar pingat Olimpik.

Mengenai Pandelela dan Nur Dhabitah, beliau berkata kedua-dua penerjun itu disasarkan untuk layak ke LA28.

-- BERNAMA