Skuad bola sepak negara bawah 22 tahun (B-22) seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam Ahad.

Pasukan pelawat mendapat jaringan awal menerusi Bharat Khawas pada minit ke-36 selepas berjaya mengatasi permain pertahanan skuad Harimau Malaysia B-22 Mohamad Faris Shah Mohd Rosli dan menewaskan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif dengan berbalas serangan yang menyaksikan skuad projek Sukan SEA 2017 bimbingan Frank Bernhardt melepaskan beberapa peluang keemasan di hadapan pintu gol Nepal.

Sebelum itu, Mohd Zarulizwan Mazlan hampir menjaringkan gol buat skuad negara hasil sepakan percuma selepas N. Thanabalan dijatuhkan pemain pasukan pelawat pada minit ke-24 namun dinafikan oleh penjaga gol Nepal Bikesh Kuthu.

Bersambung babak kedua perlawanan, Nepal di bawah kendalian jurulatih daripada Jepun Gyotoku Koji mempamerkan aksi yang lebih garang dengan bertali arus mengasak kubu pertahanan skuad negara.

Bagaimanapun, Muhammad Arif Mohamed Anwar berjaya merapatkan kedudukan hasil hantaran silang S. Kumaahran pada minit ke-86 menewaskan penjaga gol Nepal Kiran Kumar Limbu yang masuk menggantikan Bikesh pada minit ke-65.