Bayern mengesahkan kejuaraan Jerman ke-34 pada minggu lalu tanpa menendang bola memandangkan pesaing terdekat, Bayer Leverkusen, diikat 2-2 oleh Freiburg, sekali gus meninggalkan pendahulu itu dengan kelebihan lapan mata yang tidak dapat dipintas lagi dalam dua perlawanan berbaki.
Walaupun tiada matlamat sukan lagi untuk dicapai, pengurus, Vincent Kompany, berkata Bayern akan bersedia untuk menerima kunjungan pasukan di tangga kesembilan, Borussia Monchengladbach, pada malam ini dalam perlawanan terakhir Muller di laman sendiri sebelum dia dilepaskan secara percuma.
Muller mula menyertai Bayern pada usia 10 tahun dan telah membantu mereka meraih 13 kejuaraan Bundesliga, enam kemenangan DFB-Pokal, lapan DFL-Supercups dan dua gelaran Liga Juara-Juara (UCL) sejak membuat kemunculan sulung di peringkat senior pada 2008.
Kompany berazam untuk memberikan Muller pengakhir yang sewajarnya dengan berkata: "Minggu ini seperti minggu-minggu lain. Kami telah bersedia kerana ia adalah perlawanan penting buat kami.
"Tekanan kami tidak berkurangan untuk dua perlawanan terakhir ini. Kami meneruskan perjuangan.
"Kami mahu memenangi perlawanan ini, ia adalah perlawanan terakhir membabitkan Thomas Muller di Allianz Arena, ia adalah perayaan untuk semua orang.
"Kami mendambakan hari yang sempurna sekiranya persiapannya bagus.
"Ia bukan satu tugas yang mudah, lawan yang bakal dihadapi juga bagus." - Stadium Astro
