Aksi pertama kumpulan D bermula dengan pertembungan pasukan Uruguay dan Costa rica di stadium Castelao Fortaleza.

Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez tidak mahu mengambil risiko dengan merehatkan Luis Suarez yang menjalani pembedahan di bahagian lutut kiri tiga minggu lalu.

Costa Rica mengejutkan pihak lawan dengan memperoleh dua gol berturut-turut dalam masa tiga minit.

Edinson Cavani membantu Uruguay meraih gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 selepas Diego Lugano dijatuhkan oleh pemain Costa Rica, Junior Diaz.

Costa Rica kejutkan Uruguay

Jaringan itu membangkitkan Costa Rica untuk terus menyerang.

Separuh masa kedua menyaksikan Joel Campbell menggegarkan gawang dengan gol pertama Costa Rica pada minit ke-54.

Jaringan kedua menyusul buat Costa Rica pada minit ke-57 oleh Oscar Duarte susulan tendangan percuma oleh Christian Bolanos.

Ia menjadi gol antarabangsa pertama buat Duarte.

Ini gol terpantas pernah dijaringkan Costa Rica selepas tahun 2002 yang mana mereka meraih dua gol dalam masa empat minit ketika menentang China.

Sekali lagi gawang gol Uruguay digegarkan dengan jaringan ketiga daripada Marcos Urena pada minit ke-84./

Pengadil mengeluarkan kad merah pertama pada Piala Dunia Brazil 2014 untuk pemain Uruguay, Maximiliano Pereira yang mengasari Campbell pada minit terakhir perlawanan.

Perlawanan tamat dengan keputusan Uruguay 1 Costa Rica 3.

Oscar Duarte rai gol kedua Costa Rica yang disumbangkannya