PRESIDEN Reims, Jean-Pierre Caillot, berkata pandemik COVID-19 telah memberikan kesan mendalam kepada pasukan itu berikutan kematian doktor kelab, Bernard Gonzalez, yang sebelum ini disahkan positif virus berkenaan.

Caillot menjelaskan terkejut dengan perkhabaran berkenaan.

"Saya hilang kata-kata, saya sangat terkejut dengan berita ini," katanya.

Kelab Ligue 1 itu menyifatkan Gonzalez yang yang dikuarantin bersama isteri selepas disahkan positif COVID-19 sebagai 'seorang pecinta sains dan kesusasteraan yang memiliki rasa ingin tahu yang tidak pernah berhenti.

Kenyataan kelab itu bagaimanapun tidak mengesahkan faktor kematian Gonzalez, sebaliknya hanya memberi penghormatan kepada seseorang yang memiliki semangat yang tinggi.

"Pandemik ini telah memberikan kesan mendalam kepada Stade de Reims. Beliau merupakan satu daripada personaliti Reims dan seorang yang profesional dalam sukan. Beliau kini telah meninggalkan kita semua.

"Tugasnya bersama kelab selama 20 tahun yang lalu dijalankan dengan penuh profesionalisme, bersemangat dan tidak mementingkan diri sendiri," kata kenyataan itu.



Akhbar Perancis, Le Parisien, kemudian melaporkan Gonzalez membunuh diri selepas disahkan positif COVID-19.

Datuk bandar Reims, Arnaud Robinet, menganggap Gonzalez sebagai 'mangsa COVID-19'.




Di Malaysia, orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.