SPORTS
Di ambang kemuliaan atau kehancuran: Liga Europa jadi penentu nasib United

Satu-satunya laluan kejuaraan yang masih terbuka buat skuad kendalian Ruben Amorim menamatkan kempen dengan menjulang trofi Liga Europa UEFA. - Foto Facebook/Manchester United
MANCHESTER United masih belum menutup buku musim 2024/25, meskipun bergelut dengan prestasi tidak konsisten, kecederaan tonggak utama, dan tekanan daripada penyokong serta media.
Namun, satu-satunya laluan kejuaraan yang masih terbuka buat skuad kendalian Ruben Amorim, menamatkan kempen dengan menjulang trofi Liga Europa UEFA.
Manchester United kini menaruh harapan besar kepada Liga Europa UEFA sebagai peluang terakhir untuk menyelamatkan musim yang penuh dengan ketidaktentuan.
Selepas tersingkir awal daripada saingan Piala FA dan Piala Liga, serta hampir terperosok di zon penyikiran Liga Perdana Inggeris.Kemenangan di Liga Europa bukan sahaja akan menyelamatkan maruah kelab, tetapi juga menjamin kemasukan automatik ke Liga Juara-Juara musim hadapan satu kelebihan besar dari sudut kewangan dan prestij, terutama ketika kelab sedang dalam fasa pembinaan semula pasca era Sir Alex Ferguson.
Kali terakhir kelab Old Trafford itu menjuarai kejohanan ini ialah pada 2017 di bawah bimbingan José Mourinho.
Kini, tujuh tahun kemudian, mereka berpeluang mengulangi pencapaian tersebut dan membawa pulang satu-satunya trofi yang masih dalam jangkauan.
Pemain tengah berpengaruh, Bruno Fernandes, dijangka memainkan peranan penting dalam kempen ini.
Namun, kejayaan bukan sahaja bergantung kepada individu, tetapi memerlukan kekuatan kolektif, disiplin taktikal, dan semangat juang tinggi untuk menamatkan musim dengan bermaruah.
Walaupun trofi ini tidak akan memadamkan segala kepincangan musim ini, ia mampu mengubah naratif keseluruhan.
Dalam bola sepak moden, kejuaraan tetap menjadi ukuran kejayaan. Dan buat Manchester United, Liga Europa kini menjadi medan terakhir untuk menebus maruah dan semangat sebuah pasukan gergasi yang enggan terus dibelenggu bayang-bayang kegemilangan lampau.
Masa depan dan harapan penyokong di atas bahu mereka, kemenangan di Liga Europa mungkin satu-satunya jalan untuk menjadikan musim ini layak dikenang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami