SPORTS
Drama enam gol hiasi separuh akhir UCL, tiket final masih terbuka di San Siro

Yamal (dua, kiri) dicabar pemain lawan Francesco Acerbi (kiri), Denzel Dumfries (kanan) dan Yann Bisseck ketika perlawanan separuh akhir pertama UCL antara Barcelona dan Inter Milan di Stadium Olimpik Barcelona, Sepanyol, 30 Apr 2025. (Foto AP)
BARCELONA dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri dramatik 3-3 menentang Inter Milan dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang berlangsung penuh debaran di Stadium Olimpik Barcelona, awal pagi tadi.
Inter mengejutkan tuan rumah selepas hanya 30 saat apabila Marcus Thuram menyudahkan hantaran lintang rendah Denzel Dumfries dengan satu sepakan belakang yang berani, menjadikannya gol terpantas dalam sejarah separuh akhir kejohanan ini.
Dumfries kemudiannya menggandakan kelebihan pelawat pada minit ke-20 menerusi satu voli akrobatik menakjubkan, meletakkan pasukan Serie A itu di hadapan 2-0 dan mewujudkan tekanan besar buat skuad Hansi Flick.
Namun keajaiban muncul menerusi pemain muda sensasi, Lamine Yamal, yang menghidupkan semula semangat tuan rumah. Pada minit ke-24, pemain berusia 17 tahun itu mempersembahkan larian solo penuh gaya sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menerjah jaring selepas terkena tiang.Yamal terus mencuri tumpuan sepanjang perlawanan, hampir menambah jaringan apabila dua percubaannya mengenai palang. Dalam penampilan ke-100 bersama kelab, beliau kini mencatat 22 gol dan 33 bantuan jaringan—rekod luar biasa pada usia semuda itu.
Barcelona menyamakan kedudukan pada minit ke-38 apabila Ferran Torres menyambar bola muntah hasil tandukan Raphinha yang menerima hantaran silang jauh daripada Pedri.
Babak kedua terus menyajikan aksi penuh intensiti apabila Dumfries sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Barca dengan jaringan keduanya pada minit ke-63 hasil tandukan dari sepakan sudut Hakan Calhanoglu.
Namun kelebihan Inter hanya bertahan dua minit apabila rembatan jarak jauh Raphinha dari luar kotak penalti menggegarkan palang sebelum bola melantun masuk ke dalam gawang selepas terkena belakang penjaga gol Yann Sommer.
Pertarungan penuh mendebarkan ini masih seimbang, dengan aksi timbal balik dijadualkan berlangsung Selasa ini di San Siro, Milan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami