Pemain Chelsea Eden Hazard diarah keluar padang gara-gara menendang pemungut bola dalam perlawanan separuh akhir Piala Capital One menentang Swansea pagi tadi.

Chelsea sekadar seri tanpa jaringan dalam perlawanan timbal balik itu lalu terkeluar dari pertandingan tersebut apabila Swansea menang dengan agregate 2-0.

Tertekan untuk mendapatkan gol, Hazard dikatakan marah kerana pemungut bola tersebut mengambil masa yang terlalu lama untuk memungut bola.

Pengadil Chris Foy terus melayangkan kad merah pada minit ke 80.

Namun, pengurus Chelsea Rafael Benitez berkata kedua-dua pemain dan pemungut bola itu meminta maaf sesama sendiri dan mengaku kedua-duanya melakukan kesilapan.

“Mereka berdua sedar akan kesilapan mereka,” kata Benitez.

“Pemungut bola itu meminta maaf kerana membuang masa dan Hazard pula tertekan untuk cuba mendapatkan bola secepat mungkin. Kedua-dua mereka bersalah.”

Pengurus Swansea Michael Laudrup pula berkata Hazard akan rasa bersalah apabila melihat kejadian itu di televisyen.

“Saya sedar sebagai seorang pemain anda kadang-kadang tertekan untuk mendapatkan gol tetapi ada perkara yang anda tidak boleh lakukan (merujuk kepada aksi Hazard menendang pemungut bola itu),” tambah Laudrup.