SPORTS
EPL: Arsenal tangguh hajat Liverpool julang kejuaraan awal

Leandro Trossard meraikan gol ketiga pasukan yang dijaringkannya ketika perlawanan EPL antara Ipswich Town dan Arsenal di Portman Road, Ipswich, Britain, 20 Apr 2025. REUTERS
ARSENAL menafikan peluang Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini apabila menewaskan Ipswich Town yang beraksi dengan 10 pemain, 4-0 di Portman Road.
Dalam perlawanan pertama selepas menyingkirkan Real Madrid untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, skuad bimbingan Mikel Arteta sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang menentang Ipswich yang kini berada di ambang penyingkiran.
The Gunners menguasai permainan sejak sepak mula dan membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Leandro Trossard yang menyudahkan hantaran Bukayo Saka, yang terlebih dahulu mendapat sentuhan Martin Odegaard.
Gol kedua hadir hasil gerakan menarik Saka di bahagian kanan yang menghantar bola ke kawasan penalti sebelum Mikel Merino melakukan flick untuk Gabriel Martinelli menyudahkannya ke gawang Ipswich yang terbuka.Tugas Ipswich menjadi lebih sukar apabila pertahanan, Leif Davis dilayangkan kad merah pada minit ke-32 susulan terjahan keras terhadap Saka.
Trossard menambah jaringan peribadi keduanya pada minit ke-69 selepas menyudahkan satu gerakan sepakan sudut pendek yang dirancang rapi oleh Arsenal.
Pemain gantian, Ethan Nwaneri, menutup tirai jaringan dengan gol keempat dua minit sebelum tamat permainan, hasil satu rembatan yang terkena pemain lawan lalu menewaskan penjaga gol Ipswich.
Arsenal memiliki beberapa peluang lagi untuk menambah jaringan menerusi Merino dan dua percubaan Saka, namun gagal disempurnakan – sesuatu yang pastinya ingin diperbaiki Arteta.
Kekalahan ini merupakan kekalahan ketujuh Ipswich di laman sendiri pada tahun 2025, sekali gus menyaksikan mereka terus bergelut untuk kekal dalam saingan EPL.
Kemenangan Arsenal menangguhkan kejayaan Liverpool menjulang kejuaraan liga, namun tumpuan utama anak buah Arteta kini terarah kepada kempen Liga Juara-Juara.
Arteta tidak dapat menurunkan Thomas Partey bagi aksi separuh akhir pertama menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada 29 April, dan mengambil peluang ini untuk menguji kombinasi tengah yang mungkin diturunkan dalam perlawanan penting itu.
Declan Rice, yang kebelakangan ini cemerlang sebagai pemain nombor lapan, ditugaskan beraksi lebih ke dalam sebagai tonggak tengah. Merino pula kembali ke posisi asalnya di tengah setelah beberapa kali diturunkan sebagai penyerang sementara.
Mereka digandingkan bersama kapten pasukan, Odegaard, yang menunjukkan persefahaman baik bersama Saka di sebelah kanan padang – dan turut memainkan peranan penting dalam dua gol pertama Arsenal pada separuh masa pertama.
Satu-satunya kebimbangan buat The Gunners adalah keadaan Saka yang memerlukan balutan di pergelangan kakinya selepas dikeluarkan pada minit ke-57, kesan daripada terjahan yang menyebabkan Davis dilayangkan kad merah – dengan Arteta jelas mahu melindungi aset pentingnya itu.
Arsenal bakal berdepan Crystal Palace selepas ini, namun jelas perlawanan liga kini menjadi medan persiapan menjelang aksi penentu kempen musim mereka di pentas Eropah. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami