BRUNO Fernandes membayangkan dia mungkin meninggalkan Manchester United pada penghujung musim tetapi menegaskan dia tidak akan mempertimbangkan destinasi baharunya sehingga selepas saingan Kejohanan Eropah (EURO), Jun nanti.

Kapten The Red Devils itu menjadi salah satu seorang pemain terbaik semesa pasukannya berada dalam musim yang sukar di bawah kendalian Erik ten Hag dengan berada di tempat keanam dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.

Dia telah menjaringkan sebanyak 15 gol dan 11 bantuan jaringan dan menjadi pemain pertama mencipta lebih 100 peluang dalam EPL pada musim ini semasa seri dengan Burnley pada Sabtu lalu.

"Saya tidak terlalu memikirkan masa depan apatah lagi kerana musim belum berada pada tahap yang saya harapkan - sama ada secara individu ataupun kolektif - setakat ini.

"Jika saya perlu berfikir untuk tidak terus berada di EPL maka ia tidak akan berlaku sehingga selepas saingan EURO nanti.

"Tiada apa-apa perkara yang dapat mengalihkan tumpuan saya selain daripada perlawanan akhir Piala FA dan EURO kerana tidak ada yang lebih penting daripada itu buat masa ini." katanya. - Stadium Astro