DALAM aksi tumpuan kumpulan D, rekod tanpa kalah juara bertahan Sepanyol lebur selepas tumpas kepada Croatia 1-2, manakala juara dunia Jerman terus mencatat kemenangan dengan rekod bersih tanpa bolos selepas menewaskan Ireland Utara 1-0 dalam aksi kumpulan C.

Jerman mempunyai beberapa peluang di depan gol antaranya percubaan Thomas Muller yang gagal menewaskan penjaga gol Ireland, Michael McGovern selain tandukannya yang terkena tiang dalam babak pertama.

Jerman akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-29 menerusi Mario Gomez, yang menyudahkan hantaran Muller.

Mario Gotze turut mempunyai beberapa peluang di depan gol dalam babak kedua namun penyudah yang lemah menghampakan barisan Jerman.

Ireland Utara terus mengekang pelbagai cubaan Jerman untuk menggandakan jaringan dan perlawanan memihak kepada Jerman dengan keputusan 1-0.

Walaupun berkongsi tujuh mata dengan Poland, Jerman menamatkan saingan kumpulan C selaku juara dengan jumlah perbezaan gol.

Ireland Utara turut mara sebagai salah satu daripada empat pasukan di tempat ketiga yang terbaik dalam kejohanan.

Poland pula mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati buat pertama kali selepas menewaskan Ukraine 1-0.

Jakub Blaszczykowksi menyempurnakan hantaran Arkadiusz Milik pada minit ke-54 untuk membolehkan Poland mara selaku naib juara kumpulan C.

Beralih ke aksi kumpulan D, Sepanyol tewas 2-1 kepada Croatia, iaitu kekalahan pertamanya dalam kejohanan Eropah sejak 2004.

Mereka terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-7 menerusi Alvaro Morata, sebelum Nikola Kalinic menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama.

Sepanyol kemudian berpeluang kembali di depan, namun Sergio Ramos gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-72.

Croatia memanfaatkan peluang itu dengan Ivan Perisic meledak gol kemenangan dari kiri padang, sekali gus menjulang pasukannya selaku juara kumpulan D.

Dalam satu lagi perlawanan, Turki menghidupkan peluang untuk ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Republik Czech 2-0.

Burak Yilmaz membuka jaringan 10 minit selepas sepak mula sebelum Turki menggandakan jaringan pada minit ke-65 menerusi Ozan Tufan.