TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberi bayangan positif mengenai kedudukan Tan Cheng Hoe selaku Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, selepas ini.

Mohd Yusoff yang juga pengurus pasukan kebangsaan berkata secara dasarnya Cheng Hoe melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan dengan membimbing pasukan kebangsaan mara ke final Piala AFF Suzuki 2018.

Kontrak pengendali skuad Harimau Malaya itu akan berakhir 31 Dis ini.

"Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan akan memutuskan kedudukannya (Cheng Hoe) selepas ini. Mesyuarat itu dijangka diadakan pada awal Januari depan.

"Pihak jawatankuasa tetap akan menilai keseluruhan perlawanan dibawa Tan Cheng Hoe. Selain itu, kita akan membincangkan perkara perlu ditambah baik mengenai prestasi skuad kebangsaan.

"Bukan soal kontrak sambung atau tidak, paling penting adalah memperbaiki kelemahan pasukan kebangsaan," katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Hanoi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Kira-kira 300 penyokong hadir memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan di KLIA.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata sokongan peminat bola sepak tempatan kali ini sangat luar biasa walaupun pasukan negara tidak dapat menjulang Piala AFF Suzuki 2018.

"Saya percaya penyokong datang kerana menghargai permainan ditunjukkan pasukan kebangsaan. Walaupun kalah, pemain telah bermati-matian untuk memenangi perlawanan namun nasib tidak menyebelahi mereka," katanya.

Harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau lapan tahun menjulang Piala AFF Suzuki tidak kesampaian setelah kalah tipis 0-1 kepada Vietnam pada aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, malam semalam.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua selepas 2008 menerusi keputusan agregat 3-2, dan sekali gus meranapkan impian Malaysia meraih kejuaraan kedua selepas edisi 2010.

-- BERNAMA