PERSEKUTUAN Bola Sepak Dunia (FIFA) telah memulakan prosiding tindakan disiplin ke atas Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales, kerana mencium pemain pasukan negara itu Jenni Hermoso, katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Insiden itu berlaku ketika Rubiales menyerahkan pingat emas kepada pemain selepas pasukan Sepanyol mengalahkan England 1-0 dalam acara final Piala Dunia Wanita pada Ahad.

Tingkah laku Rubiales turut dikecam dari dalam dan luar Sepanyol dan digambarkan sebagai "tidak boleh diterima".

"Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah memaklumkan kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales, bahawa prosiding tidakan disiplin telah dimulakan terhadapnya berdasarkan kejadian yang berlaku ketika acara final Piala Dunia Wanita.

"Tindakan boleh dikenakan di bawah artikel 13 perenggan 1 dan 2 Kod Tatatertib FIFA," kata kenyataan itu.

Artikel 13 meliputi "tingah laku melampau" yang dilakukan pemain dan pegawai, terutamanya yang "menyalahi kelakuan sopan" dan "berkelakuan sehingga menyebabkan acara sukan mendapat nama buruk".

Pada Isnin Rubiales, yang menyelar kritikan terhadapnya, telah memohon maaf ke atas tindakannya itu dalam satu video yang diterbitkan namun ia gagal meredakan keadaan.

Pemangku Timbalan Perdana Menteri Kedua, Yolanda Diaz telah menggesa Rubiales untuk meletak jawatan atas kejadian itu yang disifatkan sebagai "serangan terhadap seorang wanita".

Liga bola sepak wanita Sepanyol, Liga F, turut menggesa Rubiales dipecat dan berkata badan itu akan membuat aduan kepada Presiden Majlis Sukan Kebangsaan (CSD) atas tindakannya itu.