KUALA LUMPUR: Pasukan kebangsaan diingatkan agar tidak hanya menumpukan kepada keupayaan pemain tertentu dalam pasukan Kemboja sebaliknya melihat keupayaan pasukan lawan itu secara keseluruhan.

Malaysia akan berdepan Kemboja pada perlawanan pembukaan Kumpulan B dalam saingan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (Piala AFF) di Singapura, esok.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe berkata para pemain tidak boleh mengambil risiko dengan hanya tertumpu untuk menyekat penyerang prolifik Kemboja Chan Vathanaka sebaliknya melihat keupayaan pasukan lawan yang bijak mengatur serangan serta corak permainan pantas pasukan itu.

"Kita tidak boleh terlalu fokus kepada satu-satu pemain sahaja iaitu Chan (Vathanaka). Kita tahu dia pernah bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini tapi kita perlu juga melihat barisan pemain muda mereka dan serangan balas dengan larian pantas.

"Kita perlu fokus kepada permainan kita, dan pada saya yang penting adalah pemain kita fokus dalam permainan pertama dan motivasi dan semangat pemain adalah tinggi," katanya dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Vathanaka, pernah beraksi bersama pasukan Pahang dan PKNS FC, telah menjaringkan dua gol ketika menentang Malaysia pada saingan peringkat kumpulan Piala AFF 2016 yang menyaksikan Malaysia menang 3-2.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata matlamat utama skuad kebangsaan berdepan Kemboja adalah hanya meraih keputusan positif berbanding menyumbat jaringan yang banyak.

Justeru, beliau mengharapkan pasukan negara dapat memberikan fokus sepenuhnya untuk beraksi cemerlang walaupun menyedari mereka terpaksa menempuh fasa persediaan singkat lagi mencabar susulan saingan Piala Malaysia yang baru saja berakhir.

"Kalau kita lihat persiapan dan perjalanan kita, baru semalam kita dapat kumpulkan pemain utama bersama dan sudah tentu jangkaan sebagai jurulatih dan peminat adalah untuk pasukan jaringkan banyak gol tetapi yang penting bagi saya adalah untuk pasukan dapatkan momentum (kemenangan).

"Sasaran kita adalah keputusan positif bukan jaringan yang banyak dan sudah tentu kalau boleh kita mahukan jaringan yang banyak tetapi keutamaan kita bertemu Kemboja untuk dapatkan keputusan positif," katanya sambil mengesahkan kesemua pemain sedia untuk diturunkan pada aksi esok.

Pertembungan antara Kemboja dan Malaysia selaku naib juara edisi 2018 akan berlangsung di Stadium Bishan 5.30 petang.

Selepas menentang Kemboja, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada 9 Dis sebelum berdepan cabaran Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B, 19 Dis.

-- BERNAMA