KUALA LUMPUR: Jaringan penyamaan Amirbek Juraboev pada penghujung perlawanan menafikan hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) memenangi kejuaraan Liga Super lebih awal selepas seri 3-3 berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam Sabtu.

Keputusan itu juga menyaksikan KDA muncul pasukan pertama yang berjaya mengikat JDT selepas skuad Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari itu cemerlang merakam 20 kemenangan liga berturut-turut.

Pada pertembungan sengit itu, JDT yang perlu mengutip tiga mata bagi mengesahkan kejuaraan buat kali ke-10 berturut-turut menerima tentangan hebat pasukan tuan rumah yang berjaya mendahului menerusi tandukan cantik Ifedayo Olusegan pada minit ke-35.

KDA FC di bawah kendalian Mohd Nafuzi Mohd Zain kemudian menggandakan kedudukan lima minit selepas rehat menerusi Manuel Ott, namun kelebihan 2-0 itu tidak bertahan lama apabila La'vere Corbin Ong menjaringkan gol pertama JDT pada minit ke-53.

JDT terus menghukum kealpaan skuad Sang Kenari apabila Heberty Fernandes menyamakan kedudukan 2-2 menerusi rembatan kencang yang menewaskan Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-53.

Pemain sayap muda, Arif Aiman Mohd Hanapi menyalakan harapan JDT untuk merangkul kejuaraan lebih awal apabila meledak gol ketiga pasukan pada minit ke-74, namun Juraboev menjadi watak pemusnah selepas menjaringkan gol penyamaan KDA FC pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Selepas kejuaraan tertangguh malam ini, JDT hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan gelaran juara Liga Super 2023 ketika berdepan PDRM di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor pada 29 Sept depan.

Sementara itu, tiga gol dijaringkan pada separuh masa pertama sudah cukup buat Sabah FC untuk melakar kemenangan selesa selepas menundukkan Negeri Sembilan FC 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Penyerang import Ramon Machado mencetak dua gol masing-masing pada minit ke-13 dan minit ke-29 untuk meletakkan skuad Sang Badak kendalian Datuk Ong Kim Swee mendahului 2-0 sebelum pemain tengah Miguel Cifuentes meledak gol ketiga pasukan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Hasrat Sabah untuk meraih kemenangan bersih tidak kesampaian apabila pasukan pelawat memperoleh gol sagu hati di penghujung perlawanan menerusi penyerang Hein Htet Aung pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Dalam pada itu, misi Kuching City FC untuk keluar dari tangga tercorot liga gagal apabila tewas kepada Terengganu FC 2-0, di Stadium Negeri Sarawak.

Selepas mengharungi cabaran hebat pasukan tuan rumah, skuad Penyu bimbingan, Tomislav Steinbruckner, akhirnya membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pemain pertahanan Shahrul Nizam Ros Hasni pada minit ke-42.

Pasukan pelawat menggandakan kedudukan sembilan minit selepas rehat menerusi jaringan Engku Nur Shakir sekali gus mengesahkan kemenangan Terengganu dan menyaksikan Kuching City kekal di tangga tercorot dengan hanya mengumpul tujuh mata.

-- BERNAMA