SHAH ALAM: Pemain beregu lelaki utama negara Soh Wooi Yik tersenyum bangga selepas berjaya menewaskan beregu Jepun bersama pasangannya, Aaron Chia di hari ulang tahun kelahirannya yang ke-26 semalam pada aksi separuh akhir pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di sini semalam.

Wooi Yik, juara dunia 2022 itu berkongsi peristiwa kekalahan kepada pasangan Jepun pada kejohanan sama dua tahun lepas menjadi pembakar semangat buatnya untuk bangkit menewaskan Akira Koga-Taichi Saito dengan menamatkan permainan yang diheret ke set penentuan itu dengan keputusan 15-21, 21-17 dan 21-10 di Pusat Konvesyen Setia City.

"Pada kejohanan BATC dua tahun lalu, saya juga kalah dengan Jepun masa hari lahir. Jadi ia bagi semangat untuk saya bangkit, tidak boleh kalah macam ini. Hari lahir jadi mahu tunjuk (terbaik) kepada peminat (yang hadir).

Harapan untuk tahun ini? Memang harap saya dan Aaron kejar impian di Sukan Olimpik dan dapat emas untuk Malaysia," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B pada kejohanan BATC 2022 menyaksikan Aaron-Wooi Yik ditumpaskan Ayato Endo-Yuta Takei, 21-23 dan 16-21 sehari selepas hari lahirnya (18 Feb).

Bagaimanapun Malaysia tetap mara ke final kejohanan sama untuk menjulang piala berkenaan buat julung kalinya dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0.

Terdahulu, pada edisi 2024 semalam menyaksikan pasukan lelaki negara hanya selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran apabila mara ke final BATC, hari ini selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan separuh akhir.

Malaysia akan berhadapan perlawanan getir bertemu China pada 4 petang, selepas negara Tembok Besar itu mengalahkan Korea Selatan 3-2 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

-- BERNAMA