KUALA LUMPUR: Hakim Danish, Juara Musim 1 Kejohanan MiniGP SIC bakal berlumba di dalam European Talent Cup (ETC) pada 13 Jun ini di Barcelona-Cataluna, Sepanyol dengan Liqui Moly Intact SIC Racing Team.

Hakim bakal menyertai rakan sepasukan Sharul Ezwan, menurut satu kenyataan dikeluarkan Sepang International Circuit (SIC) Sdn Bhd, semalam.

SIC menjelaskan Hakim dipilih berdasarkan prestasi cemerlang di Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) di Qatar dengan tiga penyudah podium.

Ia berkata berikutan kejayaan itu, Liqui Moly Intact SIC Racing Team memberikan peluang selanjutnya kepada Hakim Danish untuk berlumba dalam ETC berdasarkan prestasi luar biasa dan usaha cemerlang beliau.

Hakim berkata beliau merasa teruja untuk berlumba dalam ETC dan teruja untuk bertanding bersama rakan sepasukan, Sharul.

"Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua penaja saya, terutamanya IntactGP dan SIC. Saya yakin saya akan menimba pelbagai pengalaman berharga dengan peluang sebegini. Terima kasih," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata beliau gembira dengan peningkatan dipamerkan Hakim setakat ini terutamanya dalam beberapa pusingan IATC.

Azhan berkata kerja keras, keyakinan dan komitmen Hakim nampak terserlah dan pada masa sama, beliau berterima kasih dengan sokongan berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) kepada program pembangunan bakat SIC.

Pada masa sama, Pengurus Pasukan SIC Racing Zulfahmi Khairuddin berkata Hakim adalah pelumba berbakat dan beliau merasa gembira untuk menyaksikan pelumba muda ini mendapat peluang menyertai ETC.

"ETC adalah sebuah platform untuk beliau menimba pengalaman berlumba dengan pelumba terbaik Eropah di litar Eropah. Kami yakin beliau mampu menamatkan perlumbaan dengan baik dan membuatkan kami berbangga sebagai rakyat Malaysia, katanya.

Dengan kehadiran Hakim dalam ETC menjadikan empat bakat Malaysia bertanding dalam Kejohanan FIM CEV Repsol, iaitu Adam Norodin dalam Kejohanan Moto2 Eropah, Syarifuddin Azman dalam Kejohanan Remaja Dunia Moto3 dan Sharul dalam ETC.

Kedua-dua Hakim dan Sharul juga bertanding dalam IATC.

-- BERNAMA