SUKAN
Hamidin dipilih Tokoh Kepimpinan Sukan Anugerah SAM-100PLUS 2024

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 Julai dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sumbangan luar biasa dalam membangunkan bola sepak tanah air dari peringkat akar umbi sehingga pentas antarabangsa terus mendapat penghargaan apabila Tan Sri Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan sempena Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024.
Ringkasan AI
- Tan Sri Hamidin Mohd Amin dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan sempena Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024 atas sumbangan luar biasa beliau dalam pembangunan bola sepak Malaysia dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.
- Beliau telah memainkan peranan penting dalam transformasi bola sepak negara termasuk kejayaan Malaysia layak ke Piala Asia 2023 secara merit, serta memperkenalkan projek pemain naturalisasi dan warisan untuk memperkukuh skuad kebangsaan.
- Hamidin turut mencipta sejarah sebagai Presiden FAM pertama dilantik sebagai Chef de Mission ke Sukan Olimpik Paris 2024, selain pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia.
"Ketegasan visi, keberanian membuat keputusan dan komitmen tanpa henti terhadap pembangunan bola sepak menjadi asas kepada pemilihan beliau sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan kali ini," menurut kenyataan itu.
Hamidin yang baru dilantik sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan sekadar pentadbir sukan biasa, malah telah mendedikasikan lebih tiga dekad hidupnya untuk memperkasakan ekosistem bola sepak Malaysia, menjadikannya antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah sukan negara.
Segalanya bermula pada 1995, apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Kecemerlangan dalam pengurusan sukan mendorong pelantikannya sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998 hingga 2013.
Dalam tempoh 15 tahun berkenaan, pasukan Selangor melakar kejayaan luar biasa dengan merangkul 18 trofi, termasuk lima kejuaraan Piala Malaysia sekali gus mengukuhkan reputasi Gergasi Merah sebagai kuasa utama bola sepak tanah air ketika itu.
Pengalaman luas itu dibawa ke peringkat kebangsaan apabila beliau dilantik Setiausaha Agung (FAM) selama lima tahun, sebelum diberi mandat lebih besar sebagai Presiden pada 2018.
Di bawah kepimpinan beliau, pelbagai transformasi struktur dan pembangunan telah dilaksanakan, namun pencapaian paling membanggakan tentunya apabila Malaysia layak secara merit ke Piala Asia 2023, menamatkan kemarau selama 43 tahun dan menjadi simbol kebangkitan semula skuad Harimau Malaya.
Hamidin dan FAM memulakan projek pemain naturalisasi dan warisan dengan misi memperkukuh skuad negara di pentas antarabangsa yang nyata membuahkan hasil apabila Harimau Malaya yang dibarisi pemain naturalisasi dan tempatan berjaya melayakkan diri ke Piala Asia.
Tidak terhenti di situ, Hamidin terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan negara secara keseluruhan.
Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dan mencipta sejarah sebagai Presiden FAM pertama dilantik Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 Julai dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami